Home Berita PAS Pahang

Awal tahun gelombang Akifi membakar semangat juang muslimat

90
SHARE

Oleh : FARIDAH KAMARUDDIN

KUANTAN, 9 Jan : Amalan doa adalah senjata bagi muslimat untuk meraih kemenangan dalam perjuangan menegakkan syariat Islam di mana jua.

Malahan ia juga mampu mengubah sesuatu, meraih kebahagiaan dan kedamaian hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Begitulah antara kandungan   yang disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam Program Gelombang Akifi yang diringkaskan dari maksud ‘Alim, Haraki dan Sufi di Masjid Al-Fatah di sini semalam.

“Muslimat mesti gigih untuk membaca, memahami dan menghafal sepuluh ayat awal dan akhir surah Al-Kahfi demi untuk membina kekuatan hati, iman dan terhindar dari perangkap iblis dan dajjal.

“Perbanyakkan amalan-amalan sunnah seperti, puasa sunat, solat sunat, bacaan Quran, zikir pagi dan petang sebagai persediaan rohani menghadapi dahsyatnya fitnah wanita di akhir zaman,” ujar beliau lagi.

Program diisi dengan solat hajat dan munajat Akifi secara berjemaah dipimpin oleh Nuridah sendiri.

Turut hadir dalam program ini adalah Ketua DMPN Pahang Salamiah Mohd Nor yang juga sebagai Naib Ketua DMPM, Ketua DMP Kuantan Ustazah Rosmani Mustaffa, Ketua DMP Paya Besar Ustazah Norzilah Hussain dan muslimat-muslimat dari kawasan-kawasan berkenaan.