KUALA LUMPUR – Buat julung-julung kalinya, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan mengadakan Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) bagi mengiktiraf para usahawan di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, penganjuran AUT menunjukkan kerajaan negeri ‘cakna’ kepada usahawan-usahawan di negeri berkenaan.
“Ini merupakan inisiatif memartabatkan usaha mereka, dengan adanya AUT kita ingin mengiktiraf usaha dan gerak kerja para usahawan ini.
“Ini juga menunjukkan kita ada data berkenaan usahawan kita dan boleh mengelaskan kategori usahawan, untuk ini kita adakan enam kategori.
Contohnya, perniagaan songket dan batik pada satu kategori, perusahaan pembuatan pasa satu kategori serta satu anugerah khas kepada usahawan yang layak untuk diiktiraf sebagai usahawan contoh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Taklimat berkenaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Dana Putera dan Anugerah Usahawan Terengganu di sebuah hotel di sini, semalam.
Hadir sama, timbalannya yang juga ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Mohd Rashdan Muda, ADUN Rantau Abang, Alias Harun serta ADUN Wanita, Zuraida Md Noor.
Tambah Mohd Nurkhuzaini, inisiatif penganjuran AUT bukan semata-mata menyampaikan penghargaan kepada usahawan, tetapi memiliki kesinambungan berterusan.
“Kita tidak berhenti di situ sahaja, ini kerana pemenang-pemenang yang telah dipilih akan ditawarkan peluang-peluang untuk mereka melangkah lebih maju lagi.
“Ini ibarat membina laluan pantas untuk mereka. Contohnya, ada antaranya kita akan beri keutamaan mendapatkan pinjaman-pinjaman di bawah YPU.
“Ada juga beberapa agensi yang menawarkan keutamaan dari segi bantuan sekiranya mereka memenangi anugerah dalam bidang ini,” jelasnya sambil menyifatkan penganjuran berkenaan dapat mewujudkan lebih banyak usahawan berprestasi tinggi.
“Setakat ini, hadiahnya masih dirahsiakan, tetapi insya-Allah agak ‘grand’ juga buat pemenang,” tambahnya.