Home Berita PAS Terengganu

Asrama Yayasan Tidak Ditutup, Ganti Sekolah Imtiyaz Moden

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu menafikan dakwaan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) akan ditutup, bahkan premis tersebut akan dibangunkan Sekolah Menengah Imtiyaz moden tahun depan.

Pesuruhjaya PAS Terengganu,YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata semua pelajar masih ditempatkan di asrama tersebut dan kebajikan mereka terjamin seperti biasa.

“Kita menguruskan penempatan pelajar secara teliti dan profesional.

“Selagi pelajar tiada penempatan baharu, selagi itu mereka boleh tinggal di AYTK.

“Tidak timbul isu pelajar dihalau atau dianaktirikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, ibu bapa telah dimaklumkan dalam sesi libat urus dan telah diberikan penjelasan mengenai perancangan pembangunan kawasan berkenaan.

“Mereka faham proses ini dilakukan dengan teratur, tidak tergesa-gesa dan mengutamakan keselamatan serta masa depan pendidikan anak-anak,” jelasnya.

Exco Kerajaan itu turut mengecam tindakan pihak tertentu yang menurutnya “tandus idea tetapi ghairah memutarbelitkan fakta” sehingga menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri.


Menurutnya, pembangunan Sekolah Imtiaz baharu di kawasan tersebut merupakan langkah strategik kerajaan negeri untuk memperkukuh pendidikan ‘Quranik’ berasaskan sistem yang berkualiti tinggi.

“Permohonan kemasukan ke Imtiaz kini melebihi 5,000 setiap tahun. Ini menunjukkan minat rakyat yang sangat tinggi terhadap pendidikan yang menggabungkan hafazan al-Quran, akademik dan kemahiran profesional,” jelasnya lagi.

Oleh itu beliau memaklumkan, pengambilan pelajar pertama dijangka bermula pada awal 2027, manakala kerja baik pulih dan pembinaan fasa awal dijadual dimulakan secara berperingkat mulai pertengahan 2026 bagi memastikan fasiliti baharu dapat beroperasi dengan selesa.

Dengan tambahan tanah seluas 10 ekar, sekolah moden berkapasiti 700 hingga 800 pelajar bakal dibina, sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada masyarakat setempat.

Selain itu, pembangunan tersebut turut menjana peluang pekerjaan baharu untuk guru al-Quran, guru akademik, warden, kaunselor, pegawai keselamatan dan kakitangan sokongan, selain merancakkan ekonomi sekitar seperti perniagaan kecil, pembekal makanan dan pengangkutan.

“Keutamaan kemasukan ke Imtiaz baharu kekal melalui tapisan YT tanpa mengira latar belakang miskin atau kaya, demi menjaga standard institusi. Bagi yang tidak melepasi tapisan, laluan alternatif tetap disediakan,” katanya.

ADUN Batu Burok itu menegaskan, transformasi AYTK merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan negeri untuk melahirkan generasi Qurani profesional yang mampu menguasai ilmu agama dan kepakaran moden secara seimbang.

Beliau dalam masa sama menyeru masyarakat agar merujuk maklumat sahih dan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang dibangkitkan oleh pihak yang cuba mengeruhkan keadaan.