Home Berita PAS Pulau Pinang

Asrama warga asing Teluk Kumbar: Lebih mudarat daripada manfaat

98
SHARE

JELUTONG, 6 FEBRUARI – Dewan Pemuda PAS Kawasan Jelutong membantah sekeras-kerasnya projek asrama warga asing oleh kerajaan negeri Pulau Pinang di Teluk Kumbar. Bantahan ini sejajar dengan kenyataan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff yang telah melawat kawasan tersebut baru-baru ini.

Mengikut keluasan tapak, dijangka 35,000 pekerja warga asing akan ditempatkan sekitar Bagan Teluk Kumbar, Bandar Baru Perda Teluk Kumbar dan Sungai Batu dan setiap tempat akan dimuatkan lebih daripada 10,000 pekerja asing.

Mudharat utama yang akan timbul adalah kesesakan lalu lintas yang teruk bakal berlaku di kawasan Teluk Kumbar. Kesesakan yang sedia ada di waktu pagi dan petang dari simpang pekan Teluk Kumbar ke Bayan Lepas akan bertambah sesak dengan kelulusan projek ini.

Laluan dua hala masuk keluar di tapak asrama Bagan Teluk Kumbar amat sempit dan agak mustahil untuk bas-bas bergerak di sana. Keberadaan peniaga-peniaga kecil di bahu jalan kawasan Bandar Baru Perda Teluk Kumbar akan menyebabkan kenderaan-kenderaan yang berselisih memperlahankan kenderaan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Hujah-hujah di atas semestinya akan mengundang gangguan dan ketidakselesaan penduduk di kawasan Balik Pulau, khususnya warga Teluk Kumbar. DPPKJ dengan ini menyeru agar warga Pulau Pinang bersatu hati merentasi sempadan politik dalam membantah projek yang bakal mengundang lebih banyak mudharat daripada manfaat kepada negeri kita.