KUALA TERENGGANU – Usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pintar kini memasuki fasa baharu apabila pembinaan replika ‘Intelligent Pole’ berada di peringkat akhir, sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek perintis dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, struktur itu dibangunkan oleh Colla Connecting Edge bersama vendornya sebagai rujukan awal sebelum pelaksanaan sepenuhnya dijalankan.
“Saya berkesempatan melawat replika Intelligent Pole yang kini berada di fasa akhir pembinaannya di negeri Terengganu.
“Setelah mendengar penerangan secara terperinci, Intelligent Pole adalah satu inisiatif yang sangat baik untuk dilaksanakan di negeri Terengganu. Intelligent Pole tidak hanya berfungsi sebagai menara telekomunikasi yang biasa.
“Ia juga dilengkapi dengan lampu jalan pintar, antena telekomunikasi, pembesar suara (public announcement), skrin digital pengiklanan dan kamera CCTV yang boleh mengambil data secara terus dengan adaptasi kecerdasan buatan Artificial Intelligent (AI).
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang telah dimuatnaik dalam satu hantaran Facebook rasminya.
Tambahnya, setiap kelengkapan itu berfungsi secara serentak dalam satu struktur, sekali gus membolehkan proses pengumpulan data, komunikasi, keselamatan dan pengiklanan dilaksanakan dengan lebih cekap dan pintar.
Jelasnya lagi, sekiranya projek perintis ini berjaya, Terengganu akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki teknologi sedemikian.
“Pilot project dijangka akan bermula dalam masa terdekat. Sekiranya berjaya, Terengganu akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki Intelligent Pole seumpama ini.
“Ini satu lagi langkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Terengganu sebuah negeri yang selamat, cekap dan berdaya saing dalam era digital,” ulasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon sokongan semua pihak agar inisiatif tersebut dipermudahkan dan dapat memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini dalam jangka masa panjang.