Home Rencana PAS Pahang

ARC Pahang: Misi bantuan ada kelainan

97
SHARE

OLEH: ZARIMI SYUBRAWI

Banyak pihak menghulurkan bantuan sukarela ketika dan selepas berlakunya banjir yang agak besar di Negeri Pahang baru-baru ini, khususnya di sekitar Mentakab dan Temerloh.

Berbagai cara pula yang dilakukan mereka untuk membantu meringankan beban mangsa mengikut keperluan. Secara umumnya para sukarelawan ini menghulurkan bantuan yang lumrah seperi operasi memindahkan mangsa semasa banjir, manakala selepas banjir pula mereka membantu mencuci rumah, memasak atau membekalkan makanan dan lain-lain.

Lain pula yang difikirkan oleh sukarelawan anggota Alternative Riding Club (ARC) Temerloh, Pahang yang kemudiannya disokong bersama ARC Pahang dan ARC Pantai Timur.

Bagi membantu masyarakat di sekitar Kampung Batu Kapur dan Kampung Gajah Mati, Mentakab yang motosikal mereka ditenggelami air, pihaknya telah mengambil inisiatif mengadakan perkhidmatan menyenggara dan menghidupkan enjin motosikal yang ditenggelami banjir serta menukar minyak hitam.

Seramai 60 orang sukarelawan ARC telah ditugaskan membaikpulih kenderaan yang penting bagi penduduk-penduduk setempat itu. Hampir 100 buah motor dapat diservis dan ada di antaranya yang tenggelam dalam lumpur, kemudian dapat diselamatkan.

Pangarah ARC Temerloh, Mohd Amin Abd Hamid ketika ditemui telah melahirkan rasa syukur pada Allah kerana program itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dikalangan penduduk setempat.

Saya telah berkesempatan turut bersama dalam program itu. Saya mendapatinya telah berjaya mencapai objektif yang diharapkan. Sekurang-kurangnya inisiatif program seperti itu dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang majoriti kenderaan mereka telah ditenggelami air sewaktu banjir tempoh hari.

Apa yang lebih membanggakan lagi ialah sahabat-sahabat ARC itu ada yang datang dari Kelantan dan Terengganu dengan hanya menaiki motosikal semata-mata ingin berkhidmat secara sukarela.

Semangat dan pengorbanan ini sudah semestinya boleh dijadikan contoh buat generasi muda.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada team ARC Pahang dan ARC Pantai Timur terutama team ARC Kemaman serta NGO yang terlibat dalam menjayakan misi bantuan ini. Semoga Allah mengurniakan ganjaran terbaik untuk kalian semua.

ZARIMI SYUBRAWI,
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Pahang.

#ArcTemerloh #Dacstemerloh #Arcpahang #Paspilihankome