Home Artikel PAS Pulau Pinang

ARC Balik Pulau dekati anak muda malam Merdeka

414
SHARE

BALIK PULAU: Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) melalui Alternative Riding Club(ARC) Kawasan Balik Pulau telah menganjurkan Program Ambang Merdeka 2019 di Anjung Indah, di sini kelmarin dahulu.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim dan Naqib ARC Pulau Pinang, Ustaz Hambali Zulkefli serta ramai lagi.

Ketua Pemuda PAS Balik Pulau, Fahmi Ahmad berkata, tujuan program ini adalah untuk menarik minat dan mendekati anak muda yang tiada hala tuju semasa tibanya malam ambang merdeka kepada program yang lebih berfaedah dan ilmiah.

Program dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah diimamkan oleh Ustaz Pirdaus Md Said selaku Naqib ARC Balik Pulau dan seterusnya BBQ Santai.

Turut diadakan cabutan bertuah serta pendaftaran ahli PAS dan ARC untuk hadirin yang bersama menyertai pelancaran Pit Stop Route P14 oleh Pengarah ARC Pulau Pinang, Shahidan Saad.

Acara kemuncak ialah Forum Santai Anak Muda yang menampilkan Ustaz Abdul Razib dan Ustaz Hambali selaku panel dengan dipengerusikan oleh Ustaz Pirdaus.

Antara intipati forum, Ustaz Razib menjelaskan erti kemerdekaan yang sebenar ialah dengan membuang unsur jahiliyah dalam setiap diri manusia disamping menerapkan nilai-nilai Islam yang sebenar dalam kehidupan.

Antara tujuan utama penubuhan ARC juga jelas beliau adalah untuk menonjolkan nilai-nilai Islam berbanding nilai jahiliyah.

Ustaz Hambali pula, dalam ucapannya berkata, misi dan visi ARC adalah untuk menarik minat anak muda yang sukakan sukan permotoran berlandaskan Islam.

“Ahli ARC bukan sahaja berada di jalan raya malah akan juga ada di majlis-majlis ilmu,” ujarnya ketika berucap.

Selepas forum berlangsung tepat jam 12.00 tengah malam, program diakhiri dengan bacaan doa ambang kemerdekaan oleh Ustaz Abdul Razib dan laungan takbir sebanyak tiga kali oleh hadirin yang hadir.