Home Berita PAS Pahang

Apakah ‘game’ di sebalik cadangan PPSMI?

1053
SHARE

Apakah ada satu ‘game’ di mana Perdana Menteri (PM) meminta Menteri Pendidikannya (Dr Maszlee Malik) berundur, kemudian di kembalikan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) setelah melantik dirinya sendiri memegang portfolio itu?

 

“Jika jawapannya iya, bermakna sejarah akan berulang iaitu kegagalan dan kehabisan wang rakyat”.

 

Demikian tulis mantan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang Haji Sobirin Duli.

 

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Lipin berkata, sejarah akan berulang. PPSMI yang dahulunya tergesa-gesa dilaksanakan tanpa tempoh percubaan dan habis duit berbilion. PM yang ada,  merupakan PM yang sama dipenghujung tugasnya ketika itu.

 

“Pada ketika itu tiada siapa yang berani buka mulut membantah. Tiada siapa yang faham, sehinggakan taklimat disampaikan sendiri oleh menterinya yang dilantik secara payung terjun kerana orang politik tidak mungkin boleh berhujah dalam hal akademik.

 

“Apakah kali ini di penghujung hayat perkhidmatannya untuk kali kedua, PPSMI perlu dipaksakan sekali lagi perlaksanaannya? Apakah menteri pendidikan sendiri akan keliling negeri beri penjelasan kepada pegawainya?,” soalnya lagi.

 

Tambahnya, pasti ada soalan dari rakyat nanti (PPSMI yang dulu ada taklimat kepada ibu bapa) – Bolehkah pengajaran ini dilaksanakan hanya setelah mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dahulu seperti peraturan yang dikenakan kepada pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan?

 

“Apakah ada game lain lagi selepas ini atau sebaliknya? Satu sahaja yang positif diharapkan akan berlaku iaitu kembalikanlah elaun kritikal kepada guru terbabit. Setiap perlaksanaan dasar baru pasti melibatkan kos yang besar.

 

“Apakah kerajaan punya cukup wang setelah berkali-kali mendakwa kerajaan tak berwang akibat dirompak?,” soalnya lagi.