Home Minda Presiden

APABILA BETUL DAN SALAH DICAMPURADUKKAN

2
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 51 / 2025]
APABILA BETUL DAN SALAH DICAMPURADUKKAN


Firman Allah SWT:

وَلَا تَلۡبِسُواْ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَٰطِلِ وَتَكۡتُمُواْ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٤٢

“Dan janganlah kamu mencampuradukkan yang hak dengan yang batil, dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 42]

Sebab ayat ini diwahyukan ialah berkait dengan para agamawan Yahudi yang mencampuradukkan perkara yang betul dengan salah atau perkara yang benar dengan bohong bagi mengelirukan orang ramai berkenaan Islam dan kedatangan Nabi Muhammad SAW yang disebut dalam kitab Taurat dan dimaklumkan oleh para anbiya’ Bani Isra’il.

Ayat ini juga memaklumkan tindakan mereka yang salah dan sesat yang memesongkan hukum-hakam Allah yang ada dalam kitab Taurat.

Mereka juga mencampuradukkan amal kebajikan dengan maksiat kerana meraikan para pemerintah dan pemimpin mereka yang bergelumang dengan maksiat, sehingga mereka dilaknat oleh Allah.

Firman Allah SWT:

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ٧٩

“Telah dilaknati orang-orang kafir daripada Bani Isra’il dengan lisan Dawud dan ‘Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. (78) Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka berbuat. Sesungguhnya, amat buruklah apa-apa yang selalu mereka lakukan itu. (79)” [Surah al-Ma’idah: 78–79]

Para ulama’ menceritakan bahawa ada kalangan ulama’ Bani Isra’il, pada mulanya mereka menegur kemungkaran yang berlaku. Kemudiannya, mereka mendiamkan diri terhadap kemungkaran, seterusnya bercampur pula dengan kalangan yang melakukan kemungkaran tanpa menegur mereka, sehingga kemungkaran dianggap perkara baik apabila para ulama’ tidak menegurnya.

Maksud bercampur aduk ialah keadaan sesuatu itu telah bercampur gaul atau berbaur dengan tidak menentu, atau sudah tidak teratur. Ia juga boleh merujuk kepada keadaan sesuatu yang tercampur, bergaul, atau berkacau dengan tidak berketentuan.

Manusia diuji dalam kehidupan dunia setelah dikurniakan akal yang sihat dan para rasul yang dilantik bersama kitab Allah yang diwahyukan, berserta doa yang diulangi dalam setiap rakaat solat bagi menyembah Allah secara langsung tanpa perantaraan.
Firman Allah SWT:

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“(Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, sesiapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” [Surah al-Mulk: 2]

Mengelirukan adalah sebahagian daripada kerja syaitan bagi merosakkan manusia. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ ١٧

“Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus. (16) Kemudian, aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, serta dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).’ (17)” [Surah al-A‘raf: 16–17]

Firman Allah SWT:

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِيَنَّهُمۡ أَجۡمَعِينَ ٣٩ إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ ٱلۡمُخۡلَصِينَ ٤٠

“Iblis berkata, ‘Wahai Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. (39) Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis antara mereka.’ (40)” [Surah al-Hijr: 39–40]

Walaupun ayat-ayat tersebut menceritakan Bani Isra’il, para ulama’ ilmu al-Quran menyatakan satu kaedah:

‌الْعِبْرَةُ ‌بِعُمُومِ ‌اللَّفْظِ ‌لَا ‌بِخُصُوصِ ‌السَّبَبِ.

“Iktibar atau pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.”
Penyakit ini boleh terkena kepada sesiapa sahaja, bukan khusus kepada kaum Yahudi yang dilaknat dan paling dimurkai Allah.

Rasulullah SAW menyebut firman Allah SWT bagi mengingatkan umat Islam:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣

“Dan bahawa (yang Aku perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya (yang betul). Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Rasulullah SAW menyebut ayat di atas selepas menggariskan di atas tanah satu garisan yang betul lurus, kemudian melakar di sebelah-menyebelahnya garis-garis cabang yang banyak, lalu bersabda:

هَذَا السَّبِيلُ، وَهَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ.

“Garis yang betul adalah satu sahaja yang lurus ini. Adapun cabang-cabangnya ini ialah garis-garis yang menuju kepada kesesatan, dengan di setiap cabang itu ada syaitan yang menggoda, (maka berwaspadalah).” [Riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, no. 11109, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 4142, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي يُنَزِّلُ عَلَىٰ عَبۡدِهِۦٓ ءَايَٰتِۢ بَيِّنَٰتٖ لِّيُخۡرِجَكُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ بِكُمۡ لَرَءُوفٞ رَّحِيمٞ ٩

“Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan-kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadap kamu.” [Surah al-Hadid: 9]

Kesesatan itu banyak jalannya. Adapun cahaya petunjuk Allah yang benar adalah satu sahaja.

Kita menghadapi zaman kini yang mencabar dan menjadi ujian. Islam dicampuradukkan dengan yang lain oleh kalangan sekularisme, liberalisme, dan pluralisme yang meletakkan kebenaran bukan sahaja kepada Islam, malah juga kepada yang lain dengan menggunakan perkataan Islam yang turut sama digunakan oleh semua pihak seperti adil, hak asasi manusia, madani, dan lain-lain, tanpa menyedari adanya perbezaan prinsip dan matlamat. Allah SWT menunjukkan contoh dalam al-Quran dengan firman-Nya:

قُلۡ يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ كَلِمَةٖ سَوَآءِۢ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡـٔٗا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ ٦٤

“Katakanlah, ‘Wahai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dengan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita sekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah!’ Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, ‘Saksikanlah, bahawa kami ialah orang-orang yang berserah diri (Islam).’” [Surah Ali ‘Imran: 64]

Walaupun menyebut kalimah Allah yang sama, Islam menegaskan bahawa kalimah Allah bermakna Tuhan Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Adapun pihak yang lain melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah atau memberikan hak yang sepatutnya kepunyaan Allah sahaja kepada yang lain.

Meletakkan adanya sekutu bagi Allah bukan sahaja pada patung dan berhala, bahkan termasuk pada sifat dan hukum-Nya, seperti menamakan undang-undang ciptaan manusia menggantikan undang-undang Allah. Perkara ini juga boleh mendapat kecelakaan kerana mengelirukan, lalu terhumban dalam dosa syirik. Firman Allah SWT:

فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩

“Maka, kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan, ‘Ini daripada Allah,’ (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang mereka kerjakan!” [Surah al-Baqarah: 79]

Kecelakaan berlaku akibat mencampuradukkan hukum Allah dengan hukum ciptaan manusia. Inilah antara kesan penjajahan pemikiran yang dilakukan oleh penjajah terhadap umat Islam. Walaupun kita dikatakan merdeka dan penjajah asing sudah keluar dan pulang ke negara mereka, langkah menyesatkan diteruskan pula oleh pengikut-pengikut penjajah yang mewarisi ajaran mereka yang salah.

Di sini peranan para ulama’ yang mewarisi ilmu para anbiya’ adalah amat penting bagi mempertahankan Islam dan menegakkannya semula supaya berdaulat berkuasa mengikut perintah Allah SWT:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40–41]

Ayat ini menceritakan perjuangan Rasulullah SAW sehingga Baginda bersama para sahabat berhijrah menegakkan negara Islam yang berdaulat bagi memimpin masyarakat majmuk. Inilah Islam yang turut datang ke Nusantara yang ditegakkan oleh raja-raja yang memeluk Islam yang berdaulat bersama para ulama’ yang menjaga pusaka ilmu para anbiya’.

Mencampuradukkan Islam dengan yang lain adalah suatu kemungkaran besar yang menyesatkan orang ramai. Maka, haram bagi para ulama’ dapat digoda oleh bala tentera syaitan bagi mengelirukan umat manusia yang wajib diselamatkan bersama Islam, apabila ulama’ dipengaruhi oleh kehidupan dunia yang sedikit dan murah nilainya. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡعَذَابَ بِٱلۡمَغۡفِرَةِۚ فَمَآ أَصۡبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ ١٧٥ ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخۡتَلَفُواْ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَفِي شِقَاقِۢ بَعِيدٖ ١٧٦

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan Api Neraka, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka seksa yang amat pedih. (174) Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk dan seksa dengan keampunan. Maka, alangkah beraninya mereka boleh bersabar di dalam Api Neraka! (175) Yang demikian itu adalah kerana Allah telah menurunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran. Dan sesungguhnya, orang-orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu, benar-benar dalam penyimpangan yang jauh (daripada kebenaran). (176)” [Surah al-Baqarah: 174–176]

Kebenaran itu daripada Allah sahaja. Semua yang nyata berlawanan dengan petunjuk dan kenyataan daripada Allah adalah sesat dan salah.

Rasulullah SAW menyebut berlaku pada akhir zaman banyak perkara yang mengelirukan. Sabdanya:

سَيَأْتِي ‌عَلَى ‌النَّاسِ ‌سَنَوَاتٌ ‌خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.

“Suatu masa nanti akan datang kepada orang awam tahun-tahun yang banyak penipuan. Pembohong dianggap benar, sementara orang yang benar dibohongi. Pengkhianat diberikan amanah, manakala orang yang amanah dikhianati. Ruwaibidah (orang yang tidak mengerti) pula berkata-kata.” Rasulullah SAW ditanya, “Siapakah Ruwaibidah?” Baginda menjawab, “Orang yang jahil bercakap berkenaan perkara yang besar (penting).” [Riwayat Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Fitan, no. 4036, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 7912, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi Ibn Majah]

Berlaku keadaan yang bercampur aduk sehingga hilangnya amanah ilmu Islam dan kepimpinan negara, apabila orang jahil, pembohong, penipu, berlagak alim, atau alim yang tidak faqih (faham) mengambil tempat penting dalam masyarakat umum.

Lebih membahayakan apabila ulama’ dapat dibeli sehingga menjilat kemewahan dunia ketika dirasuk oleh syaitan di belakangnya yang meletakkan ulama’ itu di hadapan. Firman Allah SWT:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ ١٧٧ مَن يَهۡدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلۡمُهۡتَدِيۖ وَمَن يُضۡلِلۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ١٧٨

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berinya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah. Maka, perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya, ia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177) Sesiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka merekalah orang-orang yang merugi. (178)” [Surah al-A‘raf: 175–178]

Walaupun alim berilmu, mereka tidak mendapat hidayah (petunjuk Allah), seperti Iblis yang dapat berdialog dengan Allah serta melihat Syurga dan Neraka, tetapi tidak mendapat hidayah kerana nafsu menguasai akal sehingga menjadi takbur (sombong menolak kebenaran), meskipun berilmu.

Begitu juga apabila para ulama’ menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran kerana disuap mulut mereka dengan jamuan dan diisi poket mereka dengan duit.

Diberikan sumbangan kepada sekolah agama dan masjid, namun pada masa yang sama diberikan kebenaran dan kemudahan kepada tempat maksiat seperti hiburan yang melekakan, arak, judi, dan sebagainya.

Para ulama’ pula membisu lagi, menyebabkan ramai manusia yang terpengaruh kerana menganggap yang salah itu betul. Maka, akibatnya ialah dilaknat oleh Allah dan semua makhluk yang taat kepada Allah kalau tidak bertaubat. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَـٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٠

Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati. (159) Kecuali mereka yang telah taubat, mengadakan perbaikan, dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Penyayang. (160)” [Surah al-Baqarah: 159–160]

Pintu taubat dibuka kepada mereka yang mengambil langkah yang salah, dengan syarat kembali ke pangkal jalan dan melakukan islah terhadap mereka yang disesatkan dengan sebabnya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Safar 1447 / 12 Ogos 2025