Home Berita PAS Pulau Pinang

Apa itu SEO ?

871
SHARE

Pengenalan

Search Engine Optimization (SEO)” atau dalam terma bahasanya adalah “Pengoptimuman Enjin Carian” selalu dikaitkan dengan teknik-teknik untuk meningkatkan trafik atau pasaran sesuatu laman web. Ia sememangnya tepat kerana SEO membantu dalam mempromosikan sesuatu laman dan dalam masa yang sama menuntut kepakaran dari segi teknikal – sekurang-kurangnya memahami aturcara HTML.

SEO dikaitkan dengan teknik pemasaran menggunakan teks atau kandungan dalam satu laman web. Secara umum, SEO ditakrifkan sebagai aktiviti untuk mengoptimumkan satu laman web atau keseluruhan sistem laman supaya lebih mesra kepada agen carian seterusnya mendapatkan trafik tertinggi dalam satu siri penilaian.

Perkara pertama atau yang terpenting perlu diketahui oleh pembangun laman web walaupun semua teknik dan langkah SEO telah dilakukan tidak menjanjikan laman tersebut serta merta menduduki tahap tertinggi dalam trafik. Tetapi pengabaian terhadap perkara asas dalam SEO langsung tidak meningkatkan populariti laman.

Dalam kes ini, anda perlu menetapkan misi dan target dalam siri populariti, contohnya untuk satu kata kunci pilihan, daripada 30 senarai tertinggi, ianya tersenarai pada tangga ke-10.

Walaupun SEO membantu dalam meningkatkan trafik laman tetapi ianya bukan satu iklan atau pengiklanan. Terdapat laman berbayar yang menyediakan perkhidmatan meningkatkan populariti sesuatu kata kunci, namun hakikatnya teknik SEO adalah menggunakan kata kunci yang popular dan relevan kepada isi kandungan artikel laman. DAN bukan kerana anda membayarnya.

SEO boleh dijadikan sebagai satu kerjaya baru dalam pembangunan laman web. Umumnya, teknik ini pada asasnya adalah bermain dengan kata kunci sama ada menggunakan kata kunci yang popular atau menaikkan kata kunci yang luar biasa yang belum pernah digunakan.

Untuk melakukan semua itu, kita perlu memahami terlebih dahulu bagaimana Agen Carian (Search Engine – Bot) berfungsi dan bekerja.

Bagaimana Agen Carian berfungsi

Perkara pertama dalam pembelajaran SEO adalah “Agen Carian” bukanlah manusia. Terdapat perbezaan yang ketara antara Agen Carian dan manusia membaca atau melihat satu-satu laman web. Berbanding manusia, pandangan atau bacaan Agen Carian hanya terhad kepada tulisan/teks sahaja.

Walaupun Agen Carian sekarang dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini namun ianya masih terbatas daripada untuk merasai, melihat dan menilai rekaan/templat impresif sesuatu laman web, mendengar muzik atau kesan khas bunyi dan sebarang penayangan video atau animasi.

Hakikatnya Agen Carian hanya merangkak dan melayari satu-satu laman web dengan menganalisa setiap satu teks atau perkataan yang dimuatkan untuk mendapatkan rangka kasar laman tersebut. Ianya seterusnya akan melakukan beberapa aktiviti lanjut seperti merangkak, mengindeks, memproses, penilaian tahap relevan dan menyimpan.

Melayar (crawler)

Pertama, Agen Carian akan melayar (merangkak) ke laman untuk melihat apa yang ada di sana. Kerja ini dikendalikan oleh satu perisian yang dipanggil crawler atau spider (untuk Google ianya dipanggil Googlebot). Perisian ini akan melayari dari satu laman ke laman yang lain menerusi pautan (link). Dalam dunia internet, terdapat lebih kurang 20 billion laman dan bertambah setiap hari. Jadi adalah mustahil untuk perisian ini melawati laman anda setiap hari untuk melihat sama ada terdapat artikel baru ditambah atau dikemaskini.

Kadangkala perisian ini tidak melawat atau menjenguk laman anda untuk sebulan lebih. Ia sememangnya situasi yang biasa dan anda tidak boleh mengawalnya. Jadi biarkan atau abaikan sahaja. Apa yang perlu anda lakukan adalah menganalisis dan memeriksa laman apa yang dapat dilihat oleh “crawler”.

Satu laman yang dipenuhi dengan gambar, video, Flash, Javascript, Frames akan menyebabkan “crawler” hanya melihat satu laman kosong sahaja. Agen Carian akan mentafsirkan yang laman ini sebenarnya tidak wujud.

Mengindeks

Selepas satu laman atau keseluruhan laman di layar oleh “crawler”, ianya akan mula mengindeks. Laman yang diindeks seterusnya akan disimpan dalam satu pangkalan data yang besar di mana ianya akan dipaparkan dan diguna semula. Proses mengindeks adalah mengenal pasti setiap perkataan untuk mendapatkan satu kata kunci yang mendefinasi atau menerangkan laman tersebut.

Oleh kerana proses ini melibatkan pemprosesan berjuta-juta kata kunci dan kadang kala Agen Carian tidak dapat untuk mengaitkan kata kunci tertentu untuk laman. Sekiranya anda membantu Agen Carian dengan melakukan klasifikasi dan pengoptimuman kata kunci, proses ini lebih mudah dilakukan dan tidak mustahil untuk mendapatkan tahap populariti tertinggi dengan mudah.

Pemprosesan

Apabila berlaku aktiviti carian dalam pangkalan data, Agen Carian akan mula melakukan pemprosesan – iaitu melakukan perbandingan frasa carian dengan laman yang telah diindeks. Sekiranya terdapat perbandingan yang sepadan dengan frasa carian, laman tersebut akan dipilih dan dimasukkan dalam penyenaraian sementara.

Penilaian Relevansi

Proses penyenaraian sementara kemungkin akan melibatkan lebih dari satu laman (mungkin sampai berjuta) yang mengandungi frasa carian, Agen Carian perlu melakukan satu lagi proses tambahan iaitu penilaian relevansi untuk setiap laman yang tersenarai.

Penilaian ini dilakukan menerusi algoritma yang tersangat kompleks. Setiap Agen Carian seperti Google, Yahoo dan MSN mempunyai algoritma yang tersendiri dan tidak sama antara satu sama lain. Algoritma ini melibatkan banyak elemen-elemen seperti pemberat, ketumpatan, meta tag dan pautan untuk satu-satu kata kunci.

Saya difahamkan yang Agen Carian sentiasa mengubah algoritmanya dan bagi memastikan laman anda sentiasa berada di barisan yang tertinggi, kandungan setiap laman perlu sentiasa dikemas kini.

Penyenaraian

Proses terakhir yang akan dilakukan adalah memaparkan atau menyenaraikan semua keputusan yang telah dinilai. Kebiasaanya keputusan akan dipaparkan mengikut populariti yang paling tinggi sehingga yang paling rendah.

Perbezaan antara Agen Carian

Walaupun ke semua Agen Carian melakukan proses seperti yang diterangkan di atas tetapi setiap agen mempunyai identiti tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Mereka menggunakan dan menekankan faktor pemilihan algoritma yang berlainan. Jadi, kemungkinan elemen utama yang digunakan dalam Yahoo! adalah bertentangan dengan Google.

Pengoptimuman laman web mungkin menyenaraikan laman anda paling tertinggi di Google tetapi paling tercorot di Yahoo!. Oleh itu, sekiranya anda ingin menguasai hampir ke semua Agen Carian, teknik SEO ini perlu dilakukan dengan lebih berhati-bati.

Antara maklumat yang diperoleh, Agen Carian seperti Yahoo! dan MSN lebih menekankan kepada faktor kata kunci manakala Google lebih fokus kepada pautan yang sah (valid link). Google juga lebih mesra dan memberikan penghormatan kepada laman yang lebih lama bertapak manakala Yahoo! tidak mengambil kira usia sesuatu laman atau domain. Oleh itu, anda mungkin memerlukan masa untuk ditempatkan di Google berbanding Yahoo!.