Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor
Sebagaimana tidak menentunya kedudukan pandemik Covid 19 dalam negara yang kini telah mencatatkan angka lebih 10,389 kematian (setakat 7 Ogos 2021) di Malaysia, suasana politik tempatan juga rupanya semakin berkecamuk dan berserabut.
Sepatutnya disaat kita menghadapi ujian genting ini dan sedang berperang untuk menyelamatkan rakyat dan negara, pentas politik perlulah stabil demi melancarkan urusan pentadbiran negara, malangnya tidak di Malaysia.
Malangnya pimpinan politik kita sebahagiannya lebih mabuk dan tamakkan kuasa dan kedudukan walaupun apabila nasib rakyat dan negara sedang dalam ancaman.
Disaat kritikal ini cukup dikesali masih ada yang lebih tergiur dan bernafsu untuk tukar PM, robohkan kerajaan tanpa langsung memikirkan bahawa sebarang perubahan disaat ini pasti merencat dan menganggu segala usaha pemulihan negara, rakyat dan negara yang bakal menderita, demi kuasa dan agenda peribadi mereka sanggup melakukannya, pemimpin jenis apakah mereka ini?
Hari ini sebagaimana kita semua telah tahu sedang kita memberi fokus terhadap ancaman pandemik, kerajaan Persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dicabar keabsahannya. Ada yang dengan sengaja menarik sokongan kerana mahu memaksa kerajaan ini roboh walau diwaktu cemas ini.
Atas perkenan Yang Dipertuan Agong, keabsahan kerajaan ini akan ditentukan dalam persidangan Parlimen bulan September nanti.
Lantas dalam tempuh sebulan ini selain perlu fokus pada pandemik yang mencabar ini, Perdana Menteri perlu tumpukan pula pada bagaimana mahu menyelamat dan mengekalkan kerajaannya, bagi saya sudah tentu rakyat yang rasional dan punya hati budi akan menyokong dan memberi simpati pada kerajaan ini kerana disaat ini rakyat bukannya berselera mahu tukar PM atau kerajaan tetapi apa yang diinginkan adalah memulihkan kembali kehidupan semua selain kesejahteraan negara.
Sesungguhnya mana-mana pihak yang mencuri kesempatan, mengeruhkan suasana dan berhajat merobohkan kerajaan yang sedang berusaha menyelamatkan nyawa, nasib dan masadepan rakyat dan negara ini cukup tidak bertanggungjawab.
Sedarkah mereka bahawa merobohkan kerajaan ini bermakna merobohkan sekali kerajaan yang didominasi ahli-ahli Parlimen Melayu Islam, kerajaan inilah yang bangkit menggantikan kerajaan PH yang sebelum ini didominasi DAP.
Kombinasi PAS, Umno, Bersatu dan GPS serta parti-parti kecil yang lain sebelum ini, sebelum keluarnya 12 MP Umno meninggalkan kerajaan meletakkan kerajaan ini dengan majoriti 115 kerusi. Apakah kesan jika kerajaan ini roboh?
Sedarkah umat Melayu Islam khasnya bahawa kerajaan ini sebelum ditinggalkan 12 MP Umno itu diwakili 93 MP Muslim dan 22 bukan Muslim, iaitu satu kerajaan yang memiliki kekuatan politik Melayu Islam yang cukup kukuh dan ampuh. Kekuatan ini cukup dibimbangi DAP khususnya kerana segala agenda dan matlamat mereka tidak akan kesampaian selagi kuasa politk dalam genggaman umat Melayu Islam.
Soalnya jika ditakdirkan kerajaan ini roboh, apakah akan mampu dibentuk atau bangkit sebuah kerajaan yang seumpama ini lagi? Atau bagaimanakah bentuk kerajaan baru nanti?
Disinilah pentingnya umat Melayu Islam termasuk pimpinannya berfikir semasak dan sedalam-dalamnya. Apakah kesan yang mungkin berlaku jika roboh kerajaan ini?
Dato Seri Ismail Sabri Yaacob, Naib Presiden Umno yang kini Timba;lan Perdana Menteri bersama sebahagian rakan-rakan MP Umno merasakan ini bukan masanya untuk menarik sokongan dari kerajaan. Lalu sudahkah mereka yang mengambil keputusan keluar itu sedar kemana arah tuju mereka seterusnya?
Dengan 12 atau lebih sedikit MP mereka tidak boleh membentuk kerajaan bersendirian kecuali bergabung dengan parti-parti lain. Adakah blok Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memutuskan untuk keluar meninggalkan kerajaan ini mahu berkerjasama dengan pihak lain?
PH sekarang memiliki 89 kerusi, adakah mereka itu mahu bergabung dengan PH untuk membentuk kerajaan baru? Mungkin Warisan yang punya 9 kerusi akan bersama mereka, mungkin juga Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir. Tetapi isunya mahukah Umno fraksi Zahid berkerjasama dengan Anwar Ibrahim? Berkerjasama pula dengan Lim Guan Eng dan DAP?
Siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri jika terbina kerajaan baru? Sudah pasti parti yang punya bilangan kerusi terbanyak, iaitu samada DAP yang ada 42 kerusi ataupun PKR yang punya 36, tidak juga Datuk Seri Zahid sedangkan dalam kerajaan sekarang Umno sudahpun memegang jawatan TPM.
Tetapi yang lebih malang dan perlu disedari serta diinsafi oleh semua pimpinan Melayu yang kasih dan sayang pada agama dan bangsa bahawa jika terbentuklah gagasan baru ini, sedarlah disana akan masuk tidak kurang 55 MP bukan Melayu dan bukan Islam. DAP punya 41 MP bukan Islam, PKR 14 dan Warisan 1.
Bermakna jatuh kerajaan yang punya kekuatan politik Melayu Islam tetapi muncul pula dari runtuhan itu sebuah kerajaan yang didominasi lebih 55 MP bukan Melayu, apakah kita langsung tidak akan berasa bersalah ketika itu?
Jangan dipatuk ular dua kali dalam lubang yang sama pesan Rasulullah SAW. Ketika PH memerintah selama 22 bulan, mengeluh dan merintih umat Melayu Islam dalam negara melihatkan hak dan kebebasan mereka dicabar dan tercabar.
Lantas kita masih punya masa untuk bermuhasabah, berfikir lebih matang dan melihat jauh ke hadapan. Mustahil kita mahu menyeret diri kita bersekongkol dalam kerja-kerja merobohkan sebuah daulah ummah. Apa pun perbezaan dan ketidakpuasan yang bersarang di hati kita, fikirkanlah nasib dan masadepan ummah sebelum bertindak dan melakukan sesuatu yang hanya akan merugikan semua dan mengakibatkan kita menyesal sepanjang hayat.
Ketika kerajaan ini naik menggantikan PH dahulu, ketiga-tiga pimpinan terbesar ummah dari Umno, PAS dan Bersatu dapat duduk berpakat dengan berjiwa besar, penuh rukun dan tanggugnjawab membela dan mempertahankan serta mengangkat maruah agama dan bangsa yang tercalar selama 22 bulan.
Bukan sahaja kerajaan Persekutuan dapat diselamatkan, kerajaan di negeri-negeri Perak, Melaka, Johor dan Kedah juga terselamat hasil kesedaran dan kebangkitan politik umat Melayu Islam. Rangkaian kebangkitan ini melegakan ummah dan diterima dengan baik.
Apakah kita tidak mampu dan berupaya menghidupkan kembali semangat itu?
Ramai penganalisa dan pemerhati politik berpandangan bahawa umat Melayu Islam ini zaman-berzaman gagal bersatu lantaran perpecahan yang tidak berkesudahan, marilah kita buktikan yang pandangan seumpama itu tidak benar, kerana sesungguhnya kesatuan aqidah yang tercetus dari ketakwaan dan keimanan mengikat dan menyatukan kita semua.
Jangan kita terpedaya dengan perangkap musuh yang bencikan perpaduan berpaksikan aqidah ini.
Bangsa Melayu yang beragama Islam ini dijadikan Allah SWT sebagai anak-anak bangsa bumi bertuah ini, jangan kita mengingkari nikmat kurnian Nya itu.
Galaslah tanggungjawab ini berteraskan Agama memimpin seluruh rakyat dengan izin Nya ke arah kemakmuran dan kesejahteraan.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor