Home Berita PAS Perak

Antara Hukum Barat dan Hukum Islam

1581
SHARE

1) Malaysia telah digemparkan dengan suatu kejadian jenayah yang paling tragis, tidak pernah terduga akan berlaku di dalam suatu institusi keluarga dimana seorang ayah yang sepatutnya menjadi pelindung bagi anak perempuannya telah bertukar menjadi seekor “haruan” yang memakan anaknya sendiri.

2) Tarikh 8 Ogos 2017 menjadi sejarah hitam di mahkamah dan tertuduh dituduh di atas 600 kesalahan seksual yang terdiri daripada jenayah rogol,liwat serta ugutan seksual yang dilakukan terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun. Maka, mahkamah mendapati tertuduh adalah bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 48 tahun dan dan juga sebatan ke atasnya.

3) Persoalannya, adakah hukuman tersebut bersesuaian dengan jenayah yang telah dilakukan? Mendengar sahaja tentang kes ini, setiap individu merasakan bahawa bapa durjana ini patut dikenakan hukuman yang lebih berat.

4) Masuk ke penjara, segalanya ditanggung. Makanan, tempat tinggal dan sebagainya. Adakah ianya dapat memberikan kesedaran terhadap pesalah itu sendiri dan juga masyarakat secara umumnya?

5) Namun, begitulah hukuman yang tersedia didalam undang-undang rekaan manusia. Jauh berbeza dengan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah, Tuhan yang mencipta
manusia dan Maha Arif tentang sifat dan fitrah manusia.

6) Allah S.W.T telah berfirman di dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud,
“Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.”

7) Ayat ini secara jelas menunjukkan larangan tegas Allah kepada hambaNya dari mendekati zina. Mendekati pun sudah dilarang apatah lagi melakukannya.

8) Zina ialah satu perbuatan persetubuhan yang dilakukan di antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

8) Selanjutnya, Allah menerangkan hukuman bagi mereka yang melakukan zina yang terdiri daripada pelaku yang belum berkahwin dan daripada pelaku yang telah berkahwin. Bagi yang belum berkahwin, maka akan dikenakan 100 kali sebatan ke atas dirinya manakala bagi yang telah berkahwin, hukumannya ialah rejam sehingga mati berdasarkan hadis Rasulullah.

9)Hukuman-hukuman ini boleh dijatuhkan apabila sabit pembuktian berlakunya perbuatan zina dari segi kesaksian saksi atau pengakuan atau qarinah (bukti yang terdapat pada penzina tersebut contohnya seperti perempuan yang mengandung tanpa berkawin).

10)Apakah hubung kait jenayah zina dan rogol?

11) Di dalam hukuman hudud, jenayah rogol tidak termasuk dalam senarai jenayah namun hukuman bagi jenayah zina boleh dikenakan ke atas perogol tetapi tidak ke atas mangsa rogol. Ini dapat disandarkan pada kisah seorang wanita pada zaman Khalifah Ar-Rasyidin telah dibebaskan daripada dikenakan hukuman hudud ke atasnya walaupun dia mengaku dirinya telah bersetubuh dengan lelaki yang bukan suaminya dan dia sedang hamil hasil dari hubungan tersebut. Namun setelah siasatan dijalankan secara terperinci, wanita itu dibebaskan kerana lelaki tersebut telah memaksanya dan jika dia enggan, dia akan mati akibat kehausan.

12) Demi menjaga nyawanya, maka wanita itu terpaksa melakukan hubungan tersebut tanpa kerelaannya dan dalam erti kata lain, wanita itu telah dirogol oleh lelaki terbabit. Oleh yang demikian, hukuman hudud boleh dilakukan ke atas perogol tersebut.

13) 100 kali sebatan bagi perogol yang belum berkahwin dan rejam sehingga mati bagi perogol yang telah berkahwin serta hukuman ini dijalankan di khalayak ramai. Gerun bukan?

14) Nah, jadinya sudah pasti hukuman ini dapat memberikan pengajaran buat perogol secara khususnya dan masyarakat secara umumnya. Dalam keadaan dimana pembuktian yang tidak sempurna, maka menjadi tanggungjawab pemerintah bagi menjatuhkan hukuman terhadap perogol dan hukuman ini dikenali sebagai ta’zir.

15) Hukuman ta’zir boleh dijatuhkan oleh pemerintah mengikut kesesuaian dan ianya boleh sampai kepada hukuman bunuh dan buang negeri.

16)Justeru, mari bersama kita menelusuri dan mensyukuri keindahan Islam. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah perkara yang besar, semuanya diperhalusi secara halus dan adil.

17)Hanya dengan melaksanakan Hukum-Hukum Islam yang akan dapat memberikan nikmat keamanan dan kesejahteraan kepada semua makhluk di atas muka bumi ini.

18) Bersama-sama kita berjuang dalam menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia, tanah air yang tercinta.

19) Mulianya sesuatu bangsa itu adalah kerana Islam.

20) Fastabiqul khairat. Seeru a’la barakatillah.

SEJAHTERA BERSAMA ISLAM

Razak Halim
Jabatan Profesional Muda, Dewan Pemuda Pas Negeri Perak.
7 Oktober 2017

#kamisokongPindaanRUU355