Home Minda Presiden

Antara firqah dan mazhab

85
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 30 / 2024]
ANTARA FIRQAH DAN MAZHAB

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ١٥٩

“Sesungguhnya, orang-orang yang memecahbelahkan agama mereka dan mereka menjadi berpuak-puak, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya, urusan mereka itu terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu mereka apa-apa yang telah mereka lakukan.” [Surah al-An‘am: 159]

Para ulama’ tafsir menyatakan bahawa firqah dalam ayat ini ialah mereka daripada kalangan Musyrikin dan Ahli Kitab yang meminda ajaran agama sehingga terkeluar dari rukun agama Islam yang menjadi agama asal para nabi. Mereka tersesat dari aspek aqidah, hukum syariat, dan akhlaknya yang istiqamah, menjadikan mereka bukan lagi menganut agama Islam.

Terdapat juga dalam kalangan umat Islam yang mengikuti langkah mereka sehingga membatalkan rukun Islam, iman, dan ihsan yang menjadi asas agama Islam, walaupun mereka meletakkan jenama Islam. Mereka itulah golongan yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah SAW:

افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَافْتَرَقَتِ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، فَإِحْدَى وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ.

“Penganut agama Yahudi berpecah kepada 71 firqah; satu di dalam Syurga, manakala 70 di dalam Neraka. Penganut Nasrani (Kristian) pula berpecah kepada 72 firqah; 71 di dalam Neraka, manakala satu di dalam Syurga. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam Tangan-Nya! Umatku (Islam) pasti akan berpecah kepada 73 firqah; satu di dalam Syurga, manakala 72 di dalam Neraka.”

قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَنْ هُمْ؟

Baginda ditanya, “Wahai Rasulullah, siapakah mereka (yang memasuki Syurga) itu?”

قَالَ: الْجَمَاعَةُ.

Rasulullah menjawab, “(Mereka ialah yang berada dalam) jemaah (yang berpegang kepada ajaran Nabi dan para sahabat serta para pengikutnya).” [Riwayat Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Fitan, No. 3992, daripada ‘Auf bin Malik]

وفي روايةٍ للطبراني: قَالُوا: وَمَا تِلْكَ الْفِرْقَةُ؟

Dalam riwayat al-Tabrani: Para sahabat bertanya, “Siapakah satu firqah (yang memasuki Syurga) itu?”

قَالَ: ‌مَا ‌أَنَا ‌عَلَيْهِ ‌الْيَوْمَ ‌وَأَصْحَابِي.

Rasulullah menjawab, “Mereka ialah yang berpegang kepada ajaranku dan sahabatku.” [Riwayat al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Awsat, No. 4886, daripada Anas bin Malik]

Hadis ini mentafsirkan ayat al-Quran yang dinyatakan di atas, apabila seseorang atau satu golongan terpesong daripada rukun agama Islam, bukannya disebabkan perbezaan mazhab dalam perkara furu‘ (cabang agama). Hal ini demikian kerana, kefahaman yang berbeza dalam perkara cabang disebabkan oleh perbezaan ilmu, masa, dan tempat, maka berlakulah perbezaan pentafsiran setelah berlalunya masa yang panjang. Keadaan ini menunjukkan bahawa Islam dapat menyelesaikan masalah manusia yang berbeza dengan keizinan berijtihad dalam Islam.

Firman Allah SWT:

… يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ ١١

“…Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan dalam kalangan kamu beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Mujadalah: 11]

Oleh kerana luasnya ilmu Islam, menyebabkan berlakunya perbezaan ilmu kepada seseorang dan darjatnya.

Ada satu golongan yang disebut, ٱلرَّاسِخُونَ فِي ٱلۡعِلۡمِ iaitu kalangan mereka yang mendalam ilmunya sehingga mampu berijtihad dalam perkara yang tidak ada nas, dengan syarat-syarat peribadi yang tinggi dan keilmuan yang mendalam untuk memahami nas yang umum daripada al-Quran dan al-Sunnah serta boleh menilai hujah para ulama’ yang terdahulu.

Ada juga sebahagian pihak yang hanya boleh berijtihad dalam satu mazhab sehingga berkhilaf dengan guru dan imam mazhabnya. Ada yang hanya membaca sahaja, tetapi tidak mampu menilai hujah, maka sekadar menjadi pengikut ulama’ yang lain. Ada pula orang awam yang tidak berilmu dan menjadi pengikut sahaja.

Bahkan, martabat kalangan para rasul juga adalah tidak sama. Firman Allah SWT:

۞تِلۡكَ ٱلرُّسُلُ فَضَّلۡنَا بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖۘ مِّنۡهُم مَّن كَلَّمَ ٱللَّهُۖ وَرَفَعَ بَعۡضَهُمۡ دَرَجَٰتٖۚ وَءَاتَيۡنَا عِيسَى ٱبۡنَ مَرۡيَمَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَأَيَّدۡنَٰهُ بِرُوحِ ٱلۡقُدُسِۗ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ مَا ٱقۡتَتَلَ ٱلَّذِينَ مِنۢ بَعۡدِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ وَلَٰكِنِ ٱخۡتَلَفُواْ فَمِنۡهُم مَّنۡ ءَامَنَ وَمِنۡهُم مَّن كَفَرَۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ مَا ٱقۡتَتَلُواْ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَفۡعَلُ مَا يُرِيدُ ٢٥٣

“Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian (daripada) mereka atas sebahagian yang lain. Antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengannya) dan sebahagiannya Allah meninggikannya beberapa darjat. Dan Kami berikan kepada ‘Isa bin Maryam beberapa mukjizat serta Kami menguatkannya dengan Ruh al-Qudus (Jibril). Dan kalau Allah menghendaki, nescaya tidaklah berbunuh-bunuhan orang-orang (yang datang) sesudah rasul-rasul itu, sesudah datang kepada mereka beberapa keterangan. Akan tetapi, mereka berselisih, maka ada antara mereka yang beriman dan ada (pula) antara mereka yang kafir. Seandainya Allah menghendaki, tidaklah mereka berbunuh-bunuhan. Akan tetapi, Allah berbuat apa-apa yang dikehendaki-Nya.” [Surah al-Baqarah: 253]

Adapun junjungan nabi kita, Nabi Muhammad SAW dilebihkan dengan mukjizat ilmu dan al-hikmah (kebijaksanaan) daripada sunnahnya kerana besar dan luas kerasulannya kepada seluruh manusia sepanjang zaman. Para ulama’ ialah pewaris yang menerima pusaka ilmu para anbiya’ dan hikmah mereka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.

“Sesungguhnya, para ulama’ itu pewaris para anbiya’ (yang menerima pusaka mereka). Sesungguhnya, para anbiya’ tidak meninggalkan pusaka duit dinar dan dirham, (tetapi) mereka meninggalkan pusaka ilmu. Maka, sesiapa yang dapat menerimanya, nescaya dia beruntung besar.” [Riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-‘Ilm, No. 3641, al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, No. 2682, dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Iftitah al-Kitab fi al-Iman wa Fada’il al-Sahabah wa al-‘Ilm, No. 223, daripada Abu al-Darda’. Lafaz bagi Ibn Majah]

Para anbiya’ itu meninggalkan dasar agama yang tidak berbeza dari segi keimanan kepada Allah dan rukun-rukunnya, termasuk rukun syariat dan akhlak. Di sana, ada perkara umum yang boleh berbeza dan cabang yang berlaku perubahan, maka ada ajaran yang dimansuhkan hukumnya.

Keadaannya berlaku ketika zaman tidak ada lagi nabi dan rasul selepas Rasulullah SAW yang menjadi nabi akhir zaman dalam keadaan yang lebih luas dan lebih banyak cabaran dan perubahannya, di samping perbezaan antara umat Islam sendiri yang terlalu ramai jumlahnya meliputi pelbagai bangsa dan kebudayaan serta tahap ilmu dan kefahaman.

Al-Quran sebagai mukjizat ilmu diwahyukan secara berperingkat. Ada yang berlaku nasikh dan mansukh, bahasa yang umum, serta sebab turun yang umum dan khusus. Ada juga datangnya perkara baharu yang tidak ada pada zaman Nabi SAW.

Para sahabat juga berbeza tahap keilmuan masing-masing dan mereka ditugaskan di tempat yang jauh berpisah dari Madinah. Mereka pula meninggalkan para pengikut yang mengambil ilmu daripadanya dan berbeza pandangan pula, serta berpindah ke tempat yang lain. Maka, berlakulah kekhilafan dalam perkara cabang agama yang melahirkan pelbagai mazhab yang diizinkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya:

‌إِذَا ‌حَكَمَ ‌الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ.

“Jika seseorang hakim menentukan keputusan, lalu dia berijtihad dan dia betul, maka baginya dua pahala. Namun, jika dia menentukan keputusan, lalu dia berijtihad dan dia salah, maka baginya satu pahala.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-I‘tisam bi al-Kitab wa al-Sunnah, No. 7352, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Aqdiyah, No. 1716, daripada ‘Amr bin al-‘As]

Ada juga yang semua ijtihadnya betul kerana perbezaan keadaan dan masa.

Dalam perkara aqidah pula, terbahagi kepada dua mazhab, iaitu Salaf dan Khalaf dalam perkara sifat, qadar takdir, dan ayat-ayat mutasyabihat (yang susah difahami maksudnya).

Generasi awal bermula dari tahun satu Hijrah sehingga tiga abad Hijrah dinamakan sebagai Salaf, kerana mereka bersikap tidak mentafsirkan ayat-ayat mutasyabihat dan menyerahkan maknanya kepada Allah.

Adapun generasi selepasnya menghadapi perubahan zaman selepas para pendatang baharu daripada pelbagai bangsa memeluk Islam dan membawa ilmu mereka yang diterjemahkan kepada bahasa Arab. Keadaan ini menyebabkan berlakunya perbezaan kefahaman yang menimpa dan menimbulkan pentafsiran baharu sehingga berlakunya perdebatan dalam perkara tersebut. Maka, perlunya pembaharuan dalam perkara ilmu agama Islam yang melahirkan mazhab generasi Khalaf yang dinamakan Asha‘irah, Maturidiyyah, Muktazilah, dan lain-lain.

Kedua-dua mazhab tersebut dirujuk kepada pemahaman firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ مِنۡهُ ءَايَٰتٞ مُّحۡكَمَٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلۡكِتَٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَٰبِهَٰتٞۖ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمۡ زَيۡغٞ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَٰبَهَ مِنۡهُ ٱبۡتِغَآءَ ٱلۡفِتۡنَةِ وَٱبۡتِغَآءَ تَأۡوِيلِهِۦۖ وَمَا يَعۡلَمُ تَأۡوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُۗ وَٱلرَّاسِخُونَ فِي ٱلۡعِلۡمِ يَقُولُونَ ءَامَنَّا بِهِۦ كُلّٞ مِّنۡ عِندِ رَبِّنَاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ ٧

“Dialah yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu. Sebahagian besar daripada isinya mengandungi ayat-ayat yang muhkamat, itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lainnya (ayat-ayat) mutasyabihat. Adapun orang-orang yang dalam hati mereka condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyabihat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmu agamanya berkata, ‘Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu daripada sisi Tuhan kami.’ Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.” [Surah Ali ‘Imran: 7]

Berlaku kekhilafan pada ayat:

… وَمَا يَعۡلَمُ تَأۡوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُۗ وَٱلرَّاسِخُونَ فِي ٱلۡعِلۡمِ …

“…Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya…”

Kekhilafannya ialah sama ada ayat di atas dibaca secara waqaf (berhenti) ataupun wasal (bersambung). Dalam kalangan Salaf menyatakan hukumnya perlu waqaf, manakala kalangan Khalaf pula menyatakan bersambung. Begitu juga riwayat daripada Ibn ‘Abbas RA yang membacanya secara bersambung.

Para ulama’ dalam satu mazhab fiqh juga berkhilaf dalam perkara aqidah kerana perbezaan zaman. Imam mazhab empat yang terkenal, termasuk kalangan Syiah dan Ibadi yang berada ketika generasi awal, semuanya bermazhab Salaf dalam perkara aqidah. Malah, kalangan generasi Khalaf juga berkhilaf. Adapun yang berada pada zaman selepasnya, sebahagiannya bermazhab Khalaf dalam perkara aqidah.

Dalam aspek siasah pula, berpecah kepada tiga mazhab, iaitu Sunni, Syiah, dan Khawarij dalam masalah kelayakan menjadi ketua negara kerana kekhilafan dalam kalangan para sahabat Muhajirin, Ahli al-Bait, dan Ansar, walaupun mereka bersatu pada akhirnya.

Adapun dalam masalah fiqh yang luas dan masalah akhlak (tasawuf) lebih banyak kekhilafannya sehingga menimbulkan mazhab yang terlalu banyak. Walaupun wujud beberapa mazhab yang paling besar kerana adanya warisan ilmu yang ditulis, ada juga warisan ilmu yang diriwayatkan berselerak dalam pelbagai kitab tafsir dan syarah hadis serta kitab-kitab yang lain.

Perbezaan berlaku dalam perkara furu‘ (cabang), bukan perkara rukun dan dasar, disebabkan perbezaan kefahaman dan taraf ilmu masing-masing, juga disebabkan perbezaan masa, tempat bermukim, dan perubahan serta perbezaan masyarakat.

Apa yang wajib ialah dilarang berpecah dan berkelahi kerana perbezaan mazhab. Imam-imam yang besar pada zaman dahulu, mereka boleh belajar dan mengajar antara satu sama lain, walaupun berbeza mazhab dengan penuh kasih sayang. Mereka juga bersikap ikhlas membetulkan yang salah dan sesat.

Contohnya, Imam Abu Hanifah menjadi murid kepada Imam al-Baqir, manakala Imam al-Shafi‘i menjadi murid kepada Muhammad bin al-Hasan al-Shaibani dan Abu Yusuf yang mereka ialah murid kepada Imam Abu Hanifah. Selain itu, Imam Malik juga menjadi guru kepada Imam al-Shafi‘i, Imam al-Shafi‘i menjadi guru kepada Imam Ahmad bin Hanbal, dan banyak lagi contoh yang lain.

Kitab Bulugh al-Maram (بلوغ المرام) karangan Ibn Hajar al-‘Asqalani RH dikarang syarahnya, Subul al-Salam (سبل السلام) oleh al-San‘ani RH yang bermazhab Syiah Zaidiyyah. Kitab karangan al-San‘ani pula, Tathir al-I‘tiqad (تطهير الاعتقاد) dijadikan rujukan oleh ulama’ Salafi dan diajarkan di dalam Masjid al-Nabawi. Demikian pula, banyak lagi contoh yang lain.

Apabila Khalifah ‘Ali KW ditanya berkenaan golongan Khawarij yang mengangkat senjata dan menentang kerajaannya,

أَمُشْرِكُونَ هُمْ؟

“Adakah mereka golongan Musyrikin?”

قَالَ: مِنَ الشِّرْكِ فَرُّوا.

‘Ali menjawab, “Tidak, kerana mereka melarikan diri daripada kesyirikan.”

قِيلَ: أَمُنَافِقُونَ هُمْ؟

Beliau ditanya lagi, “Adakah mereka golongan munafiq?”

قَالَ: إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَذْكُرُونَ اللهَ إِلَّا قَلِيلًا.

‘Ali menjawab, “Tidak, kerana golongan munafiq tidak mengingati Allah melainkan sedikit sahaja.”

قِيلَ: فَمَا هُمْ؟

Beliau ditanya lagi, “Kalau begitu, siapakah mereka?”

قَالَ: ‌إِخْوَانُنَا ‌بَغَوْا ‌عَلَيْنَا.

‘Ali pun menjawab, “Mereka ialah saudara-saudara kita yang melampau terhadap kita.” [Al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, Jld. 17, Hlm. 22]

Semua imam mazhab yang besar melarang mazhab mereka dikhususkan menjadi mazhab negara dan umat. Masing-masing terbuka menerima hujah yang terkuat.

Kerajaan Islam yang mentadbir urusan agama dan para mufti, menjadi jumud apabila berdepan dengan masalah baharu dan keadaan yang berbeza jika hanya mengkhususkan satu mazhab. Inilah cara penjajah memenjarakan kuasa agama Islam yang ada pada raja-raja.

Kepada orang awam yang tidak berilmu atau sedikit ilmunya dibenarkan bertaqlid (mengikut sahaja) mana-mana mazhab yang dipilihnya. Para ulama’ pula perlu berhikmah dalam bermuzakarah, jangan mengelirukan orang awam. Adapun yang cetek ilmunya dan tidak mampu menguasai ilmu Islam yang luas, janganlah taasub mazhab dan ikut berijtihad sehingga merosakkan agama dan memecahkan umat apabila dipergunakan oleh musuh Islam.

Al-Quran menegaskan penyelesaiannya dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya (Muhammad SAW) serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [Surah al-Nisa’: 59]

Ulu al-Amr ialah para ulama’ yang tinggi ilmu mereka serta mendalam kefahaman dan kebijaksanaan mereka, begitu juga para pemimpin negara yang beriman dan beramal dengan Islam yang sempurna.

Para ulama’ al-Azhar telah menubuhkan sebuah badan yang dinamakan Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah (مجمع البحوث الإسلامية) pada tahun 1961 yang mengumpulkan ensiklopedia hukum Islam daripada lapan mazhab yang terbesar dan memiliki kitab-kitab rujukannya, iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i, Hanbali, Zahiri, Ithna ‘Ashariyyah, Zaidiyyah, dan Ibadi. Kemudian, disahkan oleh Muktamar Ulama’ di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Makkah dan Jordan pada tahun 2006.

Di samping itu, banyak lagi mazhab kecil yang diriwayatkan dalam kitab-kitab yang muktabar yang menjadi khazanah ilmu Islam yang luas. Mereka dinamakan sebagai ‘Ahli Kiblat’, yakni penganut Islam yang sah kerana mereka menghadap kiblat dan menunaikan haji di Makkah, selain semua ajaran mereka termaktub dalam perbahasan ilmu Islam.

Adapun firqah pula ialah kumpulan yang melanggar rukun Islam dan dasarnya. Jika mereka berbuat demikian disebabkan oleh kejahilan, maka selamatkanlah mereka. Wajib diusahakan bagi menyelamatkan mereka daripada kesesatan kerana kejahilan agama. Namun, jika mereka menderhaka bersama musuh Islam, maka tentanglah mereka. 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 19 Muharram 1446 / 25 Julai 2024