Home Berita PAS Pahang

ANTARA CITA-CITA DAN ANGAN-ANGAN PAS TERAJU PAHANG –

733
SHARE

ROSLI ABDUL JABAR

 

siri 1.

 

Bila PAS kata PAS akan bertanding melebihi 30 kerusi DUN dan melebihi 10 kerusi Parlimen di Pahang bermacam pandangan yang diberikan, ada yang menyokong tidak kurang juga yang sinis. Yang sokong kata “InsyaAllah satu masa PAS pasti menang” yang sinis kata “tinggi angan-angan PAS”. Yang sokong kita jadikan pendorong semangat, yang sinis hanya seumpama menggaru gatal, walaupun gatal itu tidak kita sukai tapi menggarunya sesuatu yang melazatkan.

 

Semasa Rasulullah saw menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dihadiahkan kepadanya sepasang gelang “Kisra bin Hurmuz”, Maharaja Parsi, ketika itu Rasulullah saw hanyalah bersama Abu Bakar As Siddiq, menjadi insan pelarian yang tiada kuasa dan kekuatan namun akhirnya lengan Suraqah bin Malik disarungkan dengan gelang kebesaran kerajaan Parsi tersebut pada zaman Sayyidina Umar Al Khattab.

 

Rasulullah saw juga telah menyebut “Kota Konstantinopel pasti akan jatuh di tangan Islam”  di saat awal Islam di Madinah, pastinya pada ketika itu kekuatan yang ada tidak mampu untuk meruntuhkan Kota Konstantinopel, namun akhirnya selepas 800 tahun Kota Konstantinopel berjaya ditakluk Islam oleh tentera pimpinan Sultan Muhammad Al Fateh.

 

Sejak tahun 1951 PAS berjuang tanpa henti. PAS menitip setiap hasil dari kesabaran perjuangannya, dari zaman calon PAS ramai yang hilang deposit sehinggalah ketika ini dan InsyaAllah hinggalah kezaman parti lain akan kehilangan deposit apabila bertanding menentang PAS. Mungkin kejayaan PAS ketika ini dianggap oleh musuh sebagai angan-angan dimasa lalu.

 

PAS telah berusaha melebarkan kekuatan dan sokongan, bukan sahaja di Semenanjung malahan di Sabah dan Sarawak. Seluruh negara ada jentera dan cawangan PAS. PAS sentiasa berusaha mengumpulkan kekuatan jentera untuk mencapai cita-cita menawan Putrajaya, sesuatu yang berharga tukarannya juga berharga. PAS bukan Mat Jenin yang tahunya berteori, hanya memegang sebiji kelapa angannya memiliki Istana.

 

Perjuangan PAS disertai dengan ‘Raja’ pengharapan, pengharapan itu sepenuhnya kepada Allah swt kerana Dialah Rabb yang memberikan kemenangan. Kemenangan itu terhasil dengan pertolonganNya. Pertolongan itu pula terhasil dengan kesungguhan dan keikhlasan dalam perjuangan, dan keikhlasan itu hanyalah apabila seorang itu berjuang kerana agamaNya.

 

Cita-cita tidak semestinya tercapai dalam masa yang dekat dan tidak mestinya juga dalam masa yang jauh kerana semuanya berada didalam ilmu Allah swt. Yang menjadi kewajipan ialah kita mesti menanam cita-cita dan berusaha kearah mencapai cita-cita itu. Cita-cita PAS adalah cita-cita Islam. Jika ada yang masih belum setuju, InsyaAllah PAS akan terus berdakwah dan berjuang sehingga mereka bersetuju.

 

Bersambung.

 

Ustaz Rosli Abdul Jabar ialah

Pesuruhjaya PAS Pahang

Adun Tanjung Lumpur

{jathumbnail off}