Home Berita PAS Pahang

Anggota TLDM tercedera bukan sebab perang

48
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 28 Apr – “AnggotaTentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kita bukan cedera sebab perang, tetapi cedera akibat kemalangan jalan raya. Ini perkara yang kita tidak mahu berlaku,” tegas Ahli Dewan Negeri Beserah, YB Dato’ Andansura Rabu dalam Persidangan Dewan Negeri Pahang baru-baru ini.

Beliau merujuk kepada aduan yang diterima daripada pegawai TLDM di Tanjung Gelang mengenai keadaan jalan raya yang rosak dan gelap, sehingga sering mengundang risiko kemalangan kepada anggota TLDM.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha menaik taraf beberapa jalan utama di kawasan Beserah, termasuk laluan dari sempadan ke Sungai Ular serta dari bandar Kuantan ke Pelindung.

“Alhamdulillah, jalan dari sempadan sampai ke Sungai Ular nampak baru, line pun baru. Dari bandar ke Beserah, Pelindung pun baru. Tetapi di tengah-tengah, dari Sungai Karang ke Balok itu belum diselesaikan lagi,” ujarnya.

Namun, beliau melahirkan kekesalan apabila terdapat laluan yang masih rosak, terutamanya dari Batu Hitam ke Balok dan ke Pelabuhan, walaupun laluan bersebelahan telah dibaik pulih sempena lawatan rasmi Perdana Menteri baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Andansura Rabu juga menarik perhatian terhadap risiko kemalangan akibat pokok-pokok tua dan reput di sepanjang jalan utama dari Beserah ke sempadan Chendor yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak berwajib.

“Banyak pokok-pokok tua yang sudah reput perlu diambil tindakan segera supaya tidak menimbulkan kemalangan atau mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan negeri dan agensi bertanggungjawab agar mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan demi keselamatan rakyat dan anggota keselamatan yang bertugas.