Home Pedoman Haraki

Ancaman Terhadap Pemalsuan Kenyataan Saksi

421 views
SHARE

ANCAMAN TERHADAP PEMALSUAN KENYATAAN SAKSI

Allah SWT memerintahkan kepada hambaNya yang beriman agar menegakkan keadilan dan kebenaran.

Firman Allah SWT,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَداءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلى أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيراً فَاللَّهُ أَوْلى بِهِما فَلا تَتَّبِعُوا الْهَوى أَنْ تَعْدِلُوا وَإِنْ تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كانَ بِما تَعْمَلُونَ خَبِيراً (135)

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kalian orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap diri kalian sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kalian. Jika kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kalian menuruti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kalian memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kalian kerjakan.” (An-Nisa’: 135)


Haram Mendahulukan Kepentingan Diri Berbanding Kesaksian Yang Benar

Ayat tersebut mengingatkan kepada kita, bahawa kaum yang beriman wajib menegakkan keadilan dan haram berpaling daripada kebenaran.

Keadilan mesti ditegakkan kerana Allah SWT. Tidak selayaknya seorang mukmin mengutamakan kepentingan peribadi berbanding menjadi saksi Allah SWT.

Turut disebutkan faktor-faktor yang mendorong seorang mukmin agar mengabaikan prinsip, meruntuhkan maruah mereka hingga terjerumus ke lembah kehinaan.


 “Biarpun Terhadap Diri Kalian Sendiri”

Betapa sukar untuk mempertahankan nilai adil, sehingga Al-Quran menegaskan bahawa kesan kata-kata yang benar menyebabkan keselesaan diri kita bakal tergugat.

Namun janganlah kerana kepentingan peribadi, kita sanggup menipu dan berpura-pura tidak menyaksikan kezaliman di depan mata.

Walaupun pendedahan dan kesaksian kita bakal memudaratkan diri, kebenaran tetap perlu ditegakkan.

Dalam ayat yang lain Allah mengancam kumpulan yang mendiamkan kejahatan yang disaksikannya.

وَمَنْ يَكْتُمْها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ

“Dan barang siapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya.” (Al-Baqarah: 283)

Nabi SAW turut bersabda:

خَيْرُ الشُّهَدَاءِ الَّذِي يَأْتِي بِشَهَادَتِهِ قَبْلَ أَنْ يُسألها

“Sebaik-baik saksi ialah orang yang mengemukakan kesaksiannya sebelum diminta untuk bersaksi.”

 “Atau Ibu Bapa & Kaum Kerabat Kalian”

Ujian keimanan seterusnya selepas diri sendiri adalah orang yang dikasihi. Seorang mukmin perlu membuktikan cintanya yang tidak berbelah bahagi terhadap agama Allah. Kasih kepada kaum keluarga, teman rapat dan puak sekumpulan tidak boleh melebihi kasih kepada Allah SWT. Apabila berlaku pertembungan antara melaksanakan keadilan dan melindungi anggota kumpulan sendiri, jangan teragak-agak untuk memilih kebenaran. Jangan sekali-kali takut untuk bertentangan dengan ibu bapa atau sahabat rapat.


 “Jika Kaya Ataupun Miskin”

Harta juga berpotensi meleraikan prinsip seseorang. Jiwa yang murah boleh dibeli dengan sogokan rasuah atau diugut dengan sekatan ekonomi. Potongan ayat Al-Quran ini mengungkap ujian seterusnya bagi seorang mukmin. Tidak menghiraukan tertuduh kerana kayanya dia, atau kasihan kepada tertuduh yang miskin hingga menyekat dirinya daripada menyatakan yang hak. Tidak terbuai emosi takut atau kasihan belas. Bahkan imannya meyakini Allah SWT menjamin maslahat apabila hukum Allah ditegakkan dengan saksama.


 Jangan Turuti Hawa Nafsu, Jangan Palsukan Kesaksian

Asabiyah perkauman, fanatik kepartian seringkali mengheret seseorang hingga mendiamkan kezaliman puaknya. Begitu juga kerana takut risiko dimusuhi, difitnah dan dibuang rakan karib akhirnya menyebabkan seseorang itu menyorok fakta kejahatan kaumnya. Allah SWT menegah asabiyah jahiliyah sekalipun manusia sering memakaikan pakaian ‘ukhuwah’, ‘taat setia’ dan lain-lain jenama kebaikan demi memperindah keburukan mereka.

Berlaku adillah walaupun kepada musuh. Tegur dan ubahlah kemungkaran sekalipun dilakukan oleh rakan baik kita.

Saidina Abdullah bin Rawahah r.a. telah menunjukkan tauladan yang baik kepada kita dalam hal ini.

Suatu ketika beliau diutus oleh Nabi SAW untuk melakukan taksiran terhadap buah-buahan dan hasil tuaian milik orang-orang Yahudi Khaibar. Ketika itu mereka bermaksud merasuahnya agar bersikap lunak terhadap mereka. Tetapi Abdullah bin Rawahah berkata;

“Demi Allah, sesungguhnya aku datang kepada kalian dari makhluk yang paling aku cintai, dan sesungguhnya kalian ini lebih aku benci daripada kera dan babi yang sedarjat dengan kalian. Bukan kerana cintaku kepadanya, benciku terhadap kalian, lalu aku tidak berlaku adil terhadap kalian.”

Yahudi tersebut membalas,

“Dengan demikian, bererti langit dan bumi akan tetap tegak.”


 Mulia Kerana Islam

Saidina Umar r.a menyebutkan,
“Kita merupakan kaum yang Allah muliakan dengan sebab Islam. Apabila kita mula mencari kemuliaan melalui jalan-jalan lain yang bertentangan dengan Islam, Allah SWT akan menghinakan kita.

Harta, kedudukan, pangkat dan pengaruh tiada nilai tanpa istiqamah bersama Islam.

Sofia Alwani bt Ali
27 Februari 2018

Artikel di atas sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Dewan Ulamak PAS Pusat. Artikel di atas dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari yang asal.