Home Berita PAS Terengganu

Anak Terengganu Ukir Nama di Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan

11
SHARE

KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Peserta dari Terengganu sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila berjaya mencatat pencapaian cemerlang dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 27 April hingga 2 Mei 2025 di Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi telah dinobatkan sebagai Johan Qariah Tilawah Al-Quran, manakala dua lagi wakil negeri dalam kategori hafazan turut mencatat kejayaan membanggakan.

Menurutnya, Muhammad Adib Qayyum Mohd Zahari meraih tempat ketiga bagi kategori Hafazan Juzuk 1 hingga 20, manakala Solahuddin Al-Ayuubie bin Ab Rahman turut menduduki tempat ketiga dalam kategori Hafazan 1 hingga 30 Juzuk.

“Kejayaan ini bukanlah pencapaian biasa kerana ia lahir daripada ketekunan, pengorbanan masa dan keikhlasan peserta dalam mendalami serta memperindah bacaan kalam Allah.

“Ini adalah kebanggaan besar bukan sahaja buat diri peserta dan keluarga mereka, malah kepada seluruh rakyat Terengganu,” katanya ketika berucap dalam majlis penghargaan kepada anak-anak Terengganu terbabit.

Majlis tersebut turut dihadiri Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) M Rozi Bidin.

Dalam pada itu, Wan Sofea Aini juga akan bertanding ke pentas antarabangsa pada 2-9 Ogos ini.

Dr. Khalil berharap Wan Sofea Aini dapat menunjukkan prestasi cemerlang serta dinobatkan sebagai Johan Antarabangsa dalam Majlis Tilawah Al-Quran yang akan datang.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian terbaik negeri Terengganu pada masa akan datang.

“Bukan sahaja dalam pertandingan, malah dalam usaha kita membina masyarakat berteraskan nilai-nilai Islam,” ujarnya.