PERAK – Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perak 2025 berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 450 perantau di Ghomah Kendughi, Lahat, di sini, hari ini.
Program anjuran Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) itu menerima sambutan luar jangka daripada rakyat Terengganu yang menetap di negeri ini.
Majlis yang bermula pukul 2 petang turut diserikan dengan kehadiran kepimpinan Exco Kerajaan Negeri Terengganu, antaranya Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, Ariffin Deraman, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Datuk Razali Idris.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah yang merasmikan program tersebut berkata, inisiatif seperti ini telah dijalankan sejak tahun 2018 dan akan diteruskan di tujuh negeri lain mengikut zon dalam masa terdekat sebagai usaha menyantuni anak-anak Terengganu di perantauan.
“Sejak tahun 2018, kita sentiasa mengadakan pertemuan dengan anak-anak Terengganu di negeri-negeri lain. Program seumpama ini amat penting untuk kita kekalkan semangat kekitaan dan ukhuwah dalam kalangan warga perantau,” ujar beliau.
Majlis turut dimeriahkan dengan juadah istimewa dari Negeri Terengganu, termasuk hidangan utama nasi dagang, serta pelbagai lagi menu tradisi.
Kanak-kanak yang hadir juga menerima duit raya sebagai tanda penghargaan dan kemeriahan sambutan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Profesor Madya Dr. Nuri Al-Amin Endut.
Salah seorang pengunjung, Arzuang Mamat, 54, anak jati Kampung Kubang Ikan yang kini menetap di Simpang Pulai sejak 25 tahun lalu menyatakan keterujaannya dapat turut serta dalam majlis ini.
“Majlis ini sungguh bermakna buat kami. Terima kasih kepada PERANTAU Perak dan pihak urusetia dari Terengganu yang menganjurkan program. Sebelum ini saya rasa macam tak ramai orang Terengganu di Perak, rupa-rupanya ramai,” katanya yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat.
Sementara itu, Roslam Mohd, 56, Pengerusi PERANTAU Perak yang berasal dari Kampung Gong Balai, Marang, meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima.
“Kita hanya jangka sekitar 300 orang sahaja, namun penyertaan mencecah 450 orang. Pendaftaran hanya dibuka selama tiga hari dan terus penuh. Anak-anak perantau sangat teruja apabila kepimpinan kerajaan negeri sendiri hadir menyantuni kami,” ujarnya.
Tambah beliau, PERANTAU Perak aktif menganjurkan pelbagai program sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu kepada sambutan perayaan.
“Sebelum Ramadan, kita anjurkan pertandingan boling. Lepas ini, kita rancang beli lembu untuk buat jamuan korban bersama anak-anak perantau di sini. Kita ingin terus menghidupkan semangat kekeluargaan walaupun jauh dari kampung halaman,” katanya.