KUALA TERENGGANU – Anak syarikat Kerajaan Terengganu, TDM Berhad, terus mengukuhkan dominasi dalam sektor penjagaan kesihatan negara apabila bakal membuka sebuah hospital swasta baharu di Bertam, Pulau Pinang dengan pelaburan mencecah RM146 juta.
Hospital bertaraf moden itu dikenali sebagai KMI Bertam Medical Centre, lengkap dengan 100 katil dan dijangka menjadi pemangkin kepada lonjakan KMI Healthcare ke wilayah utara tanah air.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata pembukaan hospital baharu itu merupakan strategi pengembangan hijau (greenfield expansion) yang mengutamakan keunikan dan privasi pesakit.
“Bila kita buka hospital di sana, kita punyai dua kelebihan utama, konsep mesra ibadah dan bilik pesakit seratus peratus ‘single bedded’.
“Orang datang ke hospital swasta kerana mereka ada kemampuan, perlindungan insurans, dan yang paling penting mahukan privasi.
“Kita faham itu dan kita tawarkan,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa pelaburan ini bukan hanya tertumpu pada fizikal bangunan, sebaliknya turut menyasar pemantapan sistem digital dan teknologi perubatan.
“Sepanjang tahun, kita telah melabur dalam HIS (Sistem Maklumat Hospital), mempercepat penggunaan EMR (rekod perubatan elektronik), serta menerapkan analitik data untuk meningkatkan ketepatan diagnosis dan pengalaman pesakit,” jelasnya.
Tambahnya lagi, keputusan untuk terus melabur dalam sektor kesihatan mencerminkan kepercayaan jitu terhadap daya saing industri itu.
“Kami melihat sektor penjagaan kesihatan sebagai salah satu teras utama yang sangat berpotensi dan menguntungkan buat syarikat.
“Pertumbuhan dalam bahagian healthcare telah memberi pulangan yang baik. Justeru, kami putuskan untuk terus memperluas pelaburan dalam sektor ini,” tambahnya.
Setakat ini, KMI Healthcare mengurus lima hospital pakar, KMI Kuala Terengganu, KMI Kuantan, KMI Kelana Jaya, KMI Taman Desa dan KMI Tawau, dengan jumlah kapasiti 412 katil.
TDM turut merancang penubuhan hospital di Kelantan, manakala KMI Chukai kini dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang akhir 2027.