Home Berita PAS Terengganu

Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, EPIC Raih Empat Pengiktirafan

3
SHARE

KUALA TERENGGANU – EPIC Berhad terus memperkukuh reputasinya sebagai organisasi yang mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) apabila meraih empat pengiktirafan pada Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MSOSH) ke-43 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Majlis anjuran Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia yang disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad itu menghimpunkan pelbagai organisasi serta individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelaksanaan budaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, sejak diperkenalkan pada tahun 1982, Anugerah MSOSH menjadi salah satu platform penanda aras industri dalam menilai pencapaian organisasi terhadap pematuhan dan pelaksanaan sistem pengurusan OSH yang berkesan di sektor masing-masing.

Menurut kenyataan tersebut, pada penganugerahan kali ini, Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat EPIC Berhad yang menyediakan perkhidmatan pangkalan bekalan serta sokongan minyak dan gas, telah menunjukkan pencapaian cemerlang apabila mencatat Skor Prestasi OSH Cemerlang (Excellent OSH Performance Scores) dalam lingkungan 85 hingga 89.99 peratus, sekali gus berjaya meraih ‘MSOSH Gold Merit’ buat julung kalinya setelah memegang ‘MSOSH Gold (Class I)’ selama lima tahun berturut-turut.

“Dua lagi anak syarikat EPIC Berhad iaitu EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB) yang terlibat dalam perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan pelantar minyak dan gas serta Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) selaku pengendali Pelabuhan Kemaman.

“Turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila masing-masing dianugerahkan ‘MSOSH Gold Class I’ selepas memperoleh ‘MOSH Gold Class II’ tahun lalu.

“Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili turut dinobatkan sebagai salah seorang penerima ‘MSOSH President’s Award’, satu pengiktirafan atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperkukuh budaya keselamatan serta kesihatan pekerjaan di seluruh operasi Kumpulan,” ujar kenyataan tersebut.

Sementara itu, Muhtar menyifatkan kejayaan yang ditempa pada hari ini adalah hasil usaha bersama seluruh warga kerja syarikat yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dalam setiap tugasan.

“Ia membuktikan bahawa amalan keselamatan yang baik bukan sekadar keperluan pematuhan, tetapi juga asas kepada keberkesanan operasi dan produktiviti organisasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa EPIC Berhad akan terus memperkukuh sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mampan serta memupuk budaya kerja selamat dalam kalangan warga kerja.

“Pihak syarikat komited untuk terus mempelbagaikan inisiatif bagi memupuk kesedaran serta memastikan setiap operasi dijalankan dalam persekitaran yang selamat, sihatdan produktif demi kesejahteraan pekerja, rakan perniagaan serta pihak berkepentingan,” ujarnya.