Home Berita PAS Terengganu

Anak muda yang cerdik buat pilihannya

20
SHARE

Firman Allah:

﴿وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ١٣﴾

“Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman.’ Mereka menjawab, ‘Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?’ Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu.” [Surah al-Baqarah: 13]

Al-Quran yang menjadi mukjizat ilmu Allah yang berkekalan sepanjang zaman, melaporkan cerita yang berlaku pada zaman bermulanya wahyu ketika hayat Rasulullah SAW, dan ia berterusan bukan sekadar cerita penglipur lara melalui lisan semata-mata.

Berlakunya fitnah pada zaman Rasulullah SAW masih hidup bersama para sahabatnya yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan pemuda yang dianggap mentah dan kalangan miskin yang dianggap lemah.

Cabarannya berterusan sepanjang zaman terhadap Islam yang menjadi ujian kepada manusia yang berakal hasil kurniaan Allah, dan tidak bersyukur atas kurniaan-Nya dengan kelebihan akal itu.

Maka, daripada kalangan itu lebih ramai jumlahnya pada zaman sudah tidak ada lagi Rasulullah SAW bersama kita. Caranya lebih banyak daripada kata-kata yang menghina, sehinggakan kepada tulisan yang disebarkan dengan mudah melalui kecanggihan media terkini, termasuk melalui lukisan karikatur yang menyindir kebodohan terhadap sesiapa yang bersama Islam.

Bahkan, diberikan anggapan bodoh terhadap pengikut rasul yang beriman kerana ramai daripada kalangan mereka ialah pemuda yang dianggap mentah akalnya, yang fakir miskin dan tertindas serta tidak berpelajaran. Namun, mereka itulah kalangan yang paling terpelihara fitrahnya, walaupun tidak berilmu. Oleh itu, mereka yang paling ramai menjadi pilihan Allah dengan mendapat hidayah (petunjuk-Nya) dengan rahmat-Nya.

Ramai kalangan mereka yang berilmu, sama ada daripada kalangan agamawan, ahli falsafah, dan berbagai-bagai ilmuwan pada zaman dahulu, termasuk yang bertaraf pemimpin atau mereka yang senang, kaya dan berharta. Semuanya bersikap angkuh dan berbangga dengan dirinya laksana Iblis yang pada asalnya kuat beribadat di alam malakut (rohani), dan juga laksana Ahli Kitab yang banyak pembacaannya. Sikap sedemikian menyebabkan kedua-duanya tidak layak mendapat hidayah kerana takabburnya. Firman Allah SWT:

﴿قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِي مِن نَّارٖ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِينٖ١٢﴾

“Allah berfirman, ‘Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) pada waktu Aku menyuruhmu?’ Iblis menjawab, ‘Aku lebih baik daripadanya; Engkau menciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah.’” [Surah al-A‘raf: 12]

Apabila datang Rasul yang menerima wahyu, maka perkara itu dianggap oleh Iblis telah mencabar kebolehan dan kedudukannya yang berbangga dengan kelebihan dirinya sendiri.

Apabila Kaisar (Raja Rom Timur) menerima surat Rasulullah SAW yang mengajaknya kepada Islam, yang disebutkan kedatangannya dalam kitab Injil dan kitab-kitab suci yang lain, Raja itu terus meminta supaya dicarikan seseorang dalam kalangan peniaga Arab yang datang berkunjung di Syam (pusat Rom Timur). Kebetulan yang dijumpai ialah Abu Sufyan RA seorang pemimpin Makkah dan daripada kalangan bangsawan (sebelum keislamannya).

Abu Sufyan RA diminta supaya menceritakan berkenaan Rasul yang mengutus surat itu. Lalu diceritakan Rasul itu membawa ajaran agama tauhid yang mengesakan Allah dan menolak syirik (adanya Tuhan yang lain daripada Allah), mencegah segala jenayah membunuh, maksiat berzina, memakan bangkai dan lain-lain.

Raja Rom yang tergamam terus bertanya:

‌فَأَشْرَافُ ‌النَّاسِ ‌يَتَّبِعُونَهُ ‌أَمْ ‌ضُعَفَاؤُهُمْ؟

“Bagaimanakah pula dengan pengikutnya, adakah daripada kalangan bangsawan ataupun golongan fakir miskin?”

Abu Sufyan menjawab:

بَلْ ضُعَفَاؤُهُمْ.

“Kebanyakan pengikutnya terdiri daripada kalangan yang lemah (golongan muda dan fakir miskin, hanya segelintir sahaja pengikutnya daripada kalangan bangsawan dan hartawan).”

Setelah lama dialog mereka, lalu Raja Rom bertitah:

وَهُمْ أَتْبَاعُ الرُّسُلِ.

“Begitulah pengikut para rasul pada zaman dahulu.” [Riwayat al-Bukhari, Bab Permulaan Turunnya Wahyu, No. 7]

Respons tersebut menyebabkan para pembesar merasa khuatir rajanya terpengaruh dan berlaku keriuhan.

Raja Rom menegaskan bahawa dirinya akan tetap berpegang dengan agama asalnya kerana takut akan berlaku pemberontakan yang akan menjatuhkan takhtanya.

Keadaan ini menepati firman Allah yang menceritakan fitnah yang berlaku terhadap pengikut nabi pada zaman dahulu:

﴿فَقَالَ ٱلۡمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦ مَا نَرَىٰكَ إِلَّا بَشَرٗا مِّثۡلَنَا وَمَا نَرَىٰكَ ٱتَّبَعَكَ إِلَّا ٱلَّذِينَ هُمۡ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ ٱلرَّأۡيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمۡ عَلَيۡنَا مِن فَضۡلِۢ بَلۡ نَظُنُّكُمۡ كَـٰذِبِينَ٢٧﴾

“Maka, berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir daripada kaumnya, ‘Kami tidak melihat kamu, melainkan (sebagai) seorang manusia (biasa) seperti kami, dan kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu, melainkan orang-orang yang hina lagi bodoh antara kami yang lekas percaya sahaja, dan kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apa pun ke atas kami, bahkan kami yakin bahawa kamu ialah orang-orang yang dusta.” [Surah Hud: 27]

Golongan muda yang beriman dianggap bodoh kerana terpengaruh dengan ajaran yang lain daripada warisan nenek moyang, maka dianggapnya tertipu kerana percaya kepada perkara ghaib yang tidak dapat dilihat dan dirasai seperti percaya kepada Allah, para malaikat, pahala dan dosa, serta Hari Akhirat yang akan datang dan janji kemenangan yang mustahil dapat dicapai.

Mereka yang menentang tidak boleh menerima seorang Rasul yang wajib bersifat benar, amanah, tabligh (menyampaikan dengan berani) dalam menegakkan kebenaran dan paling bijak akalnya dalam kalangan mereka. Hal ini disaksikan sepanjang masa oleh kalangan mereka yang hidup bersama pada zamannya.

Justeru, mereka yang ada pada zaman kini dan kalangan yang terkemudian daripada Rasul itu lebih parah lagi keangkuhannya dalam mempersendakan Islam.

Sifat terlalu percaya akan kebendaan yang nyata menyebabkan mereka tidak percaya kepada perkara yang ghaib dan dianggap menyusahkan kehidupan yang nyata di alam dunia. Adapun, apa yang akan berlaku di akhirat merupakan suatu janji yang tidak akan dapat dilihat dengan nyata.

Maka, kumpulan Islam yang meneruskan perjuangan Rasul itu lebih mencabar kerana tidak mampu menunjukkan bukti yang nyata, hanya mampu berhujah dengan kata-kata sahaja.

Keadaan itu tetap berlaku sekalipun Allah SWT telah berjanji akan tetap memelihara al-Quran, Sunnah dan ilmu-Nya, sebagaimana firman-Nya:

﴿إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ٩﴾

“Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” [Surah al-Hijr: 9]

Sehingga tidak ada alasan bagi mereka yang beriman untuk mempertikaikan perkara rukun yang menjadi dasar, kerana firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), dan ulu al-amri (umara dan ulama) antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Oleh yang demikian, itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. [Surah al-Nisa’: 59]

Umara (para pemimpin) dan ulama (ilmuwan) yang berpegang teguh dengan Islam, di samping al-Quran dan Sunnah yang dipelihara.

Alam dunia ini pula bercampur aduk antara perkara yang benar dengan yang salah bersama pendukung masing-masing, dan Allah menunjukkan panduan melalui firman-Nya:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Oleh yang demikian, diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Apabila menyebut ayat ini Rasulullah SAW melakarkan garisan yang lurus atas tanah dan melakarkan di sampingnya cabang-cabang yang banyak. Lalu Baginda bersabda:

هَذِهِ السُّبُلُ لَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ.

“Pada setiap cabang ini, ada syaitan yang menggoda nafsu manusia. ” [Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld. 3, Hlm. 328]

Mafhumnya, jalan yang betul atau lurus itu satu sahaja, adapun cabang-cabangnya yang lain itu adalah kesesatan.

Godaan harta, pangkat dan pendapatan segera bagi mengisi kemahuan nafsu manusia. Adapun Islam pula dianggap sesuatu yang mustahil dicapainya, maka dianggap bodoh mereka yang mengikutinya atau membuang masa bersamanya.

Ada dalam kalangan manusia yang berilmu tidak layak mendapat hidayah (petunjuk Allah) kerana tergoda dengan kehidupan dunia yang dapat dilihat oleh mata yang memandang, sehingga mengatasi akalnya dan menjadikan akalnya masuk ke dalam perut serta menjaga perut dan nafsunya. Firman Allah SWT:

﴿وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّـٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا ۚفَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ١٧٧﴾

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dijulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176) Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (177)” [Surah al-A‘raf: 175-177]

Firman Allah SWT:

﴿قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَٰلًا١٠٣ ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا١٠٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَلَا نُقِيمُ لَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَزۡنٗا١٠٥ ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُمۡ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُواْ وَٱتَّخَذُوٓاْ ءَايَٰتِي وَرُسُلِي هُزُوًا١٠٦﴾

“Katakanlah, ‘Apakah akan Kami beritahukan kepada kamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?’ (103) Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. (104) Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia, maka terhapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada Hari Kiamat. (105) Demikianlah balasan mereka itu neraka Jahannam, disebabkan kekufuran mereka dan disebabkan mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan rasul-rasul-Ku sebagai olok-olok. (106)” [Surah al-Kahfi: 103-106]

Di sinilah hikmahnya setiap orang yang bersolat tanpa mengira sesiapa supaya bermunajat pada setiap rakaatnya:

﴿بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ٧﴾

“Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (1) Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. (2) Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (3) (Tuhan) yang menguasai di Hari Pembalasan. (4) Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) (Iaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri ni‘mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (7) [Surah al-Fatihah: 1-7]

Wahai anak muda yang beriman dan budiman, bersabarlah dalam menghadapi gelaran bodoh yang dilemparkan ke atas kamu.

Awas terhadap mereka yang tidak beristiqamah kehidupannya itu, laksana peniaga yang sentiasa berjanji bohong. Kadang-kadang mereka berlakon bersama jenama Islam, dipakainya Islam untuk sementara waktu apabila dilihat apa sahaja yang boleh menarik dan menggoda orang lain. Kemudiannya, mereka melompat terjun kepada kemahuan nafsunya.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بَطَرٗا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ٤٧ وَإِذۡ زَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَعۡمَٰلَهُمۡ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ ٱلۡيَوۡمَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَإِنِّي جَارٞ لَّكُمۡۖ فَلَمَّا تَرَآءَتِ ٱلۡفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيٓءٞ مِّنكُمۡ إِنِّيٓ أَرَىٰ مَا لَا تَرَوۡنَ إِنِّيٓ أَخَافُ ٱللَّهَۚ وَٱللَّهُ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٤٨ إِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ غَرَّ هَـٰٓؤُلَآءِ دِينُهُمۡۗ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٤٩﴾

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riyak kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan. (47) Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan, ‘Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah pelindungmu.’ Maka, tatkala kedua-dua pasukan itu telah dapat saling lihat melihat (berhadapan), syaitan itu balik ke belakang seraya berkata, ‘Sesungguhnya, aku berlepas diri daripada kamu, sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu semua tidak dapat melihat; sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Dan Allah sangat keras seksa-Nya. (48) (Ingatlah), ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata, ‘Mereka itu (orang-orang Mukmin) ditipu oleh agamanya.’ (Allah berfirman), ‘Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.’ (49)” [Surah al-Anfal: 47-49]

Firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لَمَّا قُضِيَ ٱلۡأَمۡرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَكُمۡ وَعۡدَ ٱلۡحَقِّ وَوَعَدتُّكُمۡ فَأَخۡلَفۡتُكُمۡۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيۡكُم مِّن سُلۡطَٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوۡتُكُمۡ فَٱسۡتَجَبۡتُمۡ لِيۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوٓاْ أَنفُسَكُمۖ مَّآ أَنَا۠ بِمُصۡرِخِكُمۡ وَمَآ أَنتُم بِمُصۡرِخِيَّ إِنِّي كَفَرۡتُ بِمَآ أَشۡرَكۡتُمُونِ مِن قَبۡلُۗ إِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ٢٢﴾

“Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan, ‘Sesungguhnya, Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku. Oleh sebab itu, janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya, aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu.’ Sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.” [Surah Ibrahim: 22]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 11 Safar 1445 / 28 Ogos 2023

[Bil: 70 / 2023]