Home Berita PAS Terengganu

Anak jati Terengganu buka kafeteria di Mekah

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Berpandangan jauh dengan visi positif, Shukuriah Abd Ghafar mengambil langkah berani apabila membuka sebuah kafeteria di kota suci Mekah yang menawarkan pelbagai hidangan citarasa Malaysia dengan harga yang sangat berpatutan.

Anak jati Terengganu yang merupakan Pengarah Urusan syarikat Adeq Sue Resources Sdn Bhd itu berkata, keputusan itu dibuat setelah perniagaan di Terengganu stabil dengan operasi kilang di Seberang Takir, Kuala Nerus,

“Syarikat kami telah bertapak lebih 13 tahun di Terengganu hasil perkongsian bersama sepupu saya yang juga bekas pemain bola sepak terkenal negara, Hairuddin Omar.

“Dan kali ini kami mengambil langkah setapak lagi ke hadapan ke pasaran global dengan pembukaan kafe tersebut yang beroperasi di Hotel Rehab Janadriyah pada tahun ini,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, keistimewaan menu yang dihidang di café di Mekah menggunakan rempah ratus dan bahan masakan yang asli dan segar, sama seperti Malaysia.

“Antara pilihan jemaah ialah nasi lemak, roti canai, nasi kerabu, nasi dagang, pulut kuning, mi goreng, lontong, laksa Penang, laksa Johor, mi rebus, mi sup dan soto.

“Harga pula sangat berpatutan dengan purata 12 Saudi Riyal (SAR) dan saiz hidangan yang sesuai untuk jemaah Malaysia,”ujarnya.

Kafeteria itu dibuka mulai 4.30 pagi dan ditutup pada pukul 10.30 malam mempunyai  40 orang pekerja dari pelbagai negara dan  dibantu oleh rakan kongsi yang juga anak jati Arab Saudi dalam selok belok perniagaan di tanah suci Mekah.

Dalam pada itu, demi kepuasan pelanggan terutama untuk memenuhi permintaan jemaah haji Malaysia, kafeteria Adeq Sue turut menyediakan pelbagai pes sambal seperti sambal tempoyak petai, budu, sambal belacan, sambal hitam dan sambal ikan bilis.

“Saya cukup berpuas hati apabila mereka yang datang menikmati hidangan di kafetaria kami tersenyum gembira dan makin ramai Jemaah-jemaah dari hotel-hotel lain datang untuk mencuba menu citarasa Malaysia,”katanya yang berhasrat membuka lebih banyak cawangan kafeteria atau restoran di sekitar Arab Saudi pada masa akan datang.