KUALA TERENGGANU – Aira Nur Maisarah Abdullah Fuad, 14, melakar momen bersejarah apabila pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu itu merangkul tiga anugerah bertaraf antarabangsa dalam Borneo International Innovation Creativity Competition (BIICC) 2025.
Kejayaan tersebut diraih menerusi projek infografik bertajuk ‘When They Disappear, So Do We’, yang membolehkan Aira membawa pulang ‘Gold Medal’, ‘Platinum Award’ serta ‘Best Infographic Poster Award’ yang diumumkan di International Youth Centre, Kuala Lumpur, semalam.
Berkongsi berita, anak pintar solehah Imtiaz Kuala Terengganu itu meluahkan keterujaan dan kegembiraannya apabila dia diumumkan sebagai penerima tiga anugerah dalam pertandingan tersebut.

Menurutnya, idea di sebalik infografik itu tercetus daripada kesedaran bahawa hubungan antara alam sekitar dan manusia adalah sangat rapat serta saling memerlukan.
“Mesej yang saya ingin sampaikan adalah apabila sesuatu komponen penting dalam biodiversiti atau alam sekitar hilang, ia akan memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia.
“Kita semua bergantung antara satu sama lain untuk kelangsungan hidup,” ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Mengulas mengenai proses penyediaan projek, Aira berkata penganjur menetapkan tempoh selama dua minggu untuk menyiapkannya, namun dia hanya mengambil masa seminggu sahaja untuk menyelesaikan infografik tersebut.
“Sepanjang proses ini, saya dibantu oleh dua guru pembimbing iaitu Ustaz Zaimuddin (Zaimuddin Anizan) dan Ustaz Abdul Rashid (Abdul Rashid Al Muzmi), selain sokongan berterusan daripada ibu bapa dan rakan-rakan sekelas di 2 Nafi’.
“Oleh itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang telah banyak membantu saya dalam menyiapkan projek ini,” tambahnya.
Selain cemerlang dalam pertandingan ini, Aira juga pernah menerima Anugerah Hafazan Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2024 sebagai salah seorang daripada dua pelajar terpilih.
Pelajar tingkatan dua itu turut pernah menyertai ‘Biology Explorer Competition’ 2025 serta mewakili sekolah dalam Sukan Catur Majlis Sukan-Sukan Sekolah Malaysia (MSSD) Kuala Terengganu 2025 kategori Bawah 15 Perempuan.
Pengetua SM Imtiaz Kuala Terengganu, Md Imran Md Nor menyifatkan pencapaian itu sebagai satu perkara yang menajdi kebanggaan besar bagi institusi pendidikan menengah di kuala Terengganu itu.
“Ia bukan sahaja mencerminkan usaha gigih pelajar tersebut, malah menjadi bukti bahawa pendidikan yang seimbang antara akademik, akhlak dan kemahiran mampu melahirkan pelajar yang cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut memuji Aira sebagai pelajar yang serba boleh, berdisiplin tinggi dan seimbang dalam pelbagai aspek serta perlu dijadikan sebagai contoh oleh pelajar-pelajar lain.
“Aira adalah seorang pelajar yang sangat aktif dan berdisiplin. Beliau bukan sahaja menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik, malah terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, termasuk program kepimpinan, pertandingan dan aktiviti kemasyarakatan.
“Saya berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada semua pelajar untuk berani mencabar diri, melangkah keluar dari zon selesa dan menyertai pelbagai peluang di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.
BIICC 2025 yang julung kali diadakan berjaya menarik penyertaan kira-kira 650 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah rendah, menengah, guru-guru serta wakil dari 15 negara.
Dianjurkan oleh Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO) bersama Sarawak Teachers’ Aspirations Organization, ia bertujuan untuk membudayakan kecenderungan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.