Home Berita PAS Terengganu

Anak Almarhum Ustaz Harun Taib Ketua Pemuda Baharu

48
SHARE

KUALA NERUS – Ustaz Mohd Hamdi Harun, anak kepada tokoh ulama tersohor Allahyarham Tuan Guru Dato’ Harun Taib, hari ini diumumkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bagi sesi 2025–2027.

Pemilihan beliau yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan kesepakatan, diumumkan secara rasmi dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-56 Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu yang diadakan di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa, Batu Enam, pagi tadi.

Ustaz Hamdi menang tanpa bertanding, satu isyarat jelas kepercayaan padu yang diberikan oleh seluruh perwakilan dan jentera pemuda terhadap kepimpinan serta ketokohan beliau.

Dalam ucapan sulungnya selepas diumumkan sebagai Ketua, Ustaz Hamdi menyatakan kesediaannya untuk memikul amanah besar tersebut dengan penuh tanggungjawab dan tekad.

“Saya menerima amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab. Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh gerak kerja dakwah, memperluas inisiatif kebajikan, memperkemas organisasi pemuda di semua peringkat dan mempertahan kemenangan serta melebarkan kemenangan ke Putrajaya,” katanya.

Latar belakang pendidikan Ustaz Hamdi memperlihatkan corak pembentukan tarbiah yang konsisten sejak kecil.

Beliau memulakan pendidikan awalnya di PASTI Al-Ihsan, Kubang Lembek, Manir sekitar tahun 1992 hingga 1993, sebelum melanjutkan ke Madrasah Darul Ihsan di tempat yang sama sehingga tahun 1998.

Seterusnya, beliau menyambung pengajian menengahnya di Maahad Darul Quran, Rusila, yang merupakan institusi didikan almarhum ayahandanya sendiri.

Selepas menamatkan pengajian peringkat menengah, beliau mengikuti kursus Bahasa Arab di Universiti Zarqa’, Jordan pada tahun 2002 hingga 2003, sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian tinggi.

Hamdi, paling kiri

Beliau kemudian menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di European Institute of Human Sciences, Wales, United Kingdom antara tahun 2003 hingga 2006.

Tidak terhenti di situ, beliau meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang yang sama di The Markfield Institute of Higher Education (MIHE), Leicestershire, United Kingdom, dan berjaya menamatkannya pada tahun 2008.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Terengganu, beliau pernah memegang jawatan Naib Ketua Pemuda negeri.

Sepanjang tempoh itu, beliau dikenali sebagai seorang pemimpin lapangan yang dekat dengan masyarakat menerajui pelbagai program kebajikan termasuk bantuan kepada anak-anak yatim, khidmat sahur komuniti, agihan bantuan keperluan asas serta siri kuliah dan pengisian tarbiah di peringkat DUN dan kawasan.