KUALA TERENGGANU – Tindakan Amerika menggunakan kuasa veto bagi melindungi pembunuhan yang dilakukan Israel adalah di luar batas kemanusiaan serta dianggap tidak berhati perut.
Mantan Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, di saat masyarakat di Eropah telah bersetuju untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Amerika pula ambil keputusan bertentangan atas dasar kepentingan.
“Keputusan itu (heret Israel) diterima oleh masyarakat negara eropah malangnya Amerika pula guna kuasa veto untuk menyekat, tindakan Amerika luar biasa dari kemanusiaan.
“Kerana siapa hendak menang presiden Amerika mestilah orang yang paling kuat sokong zionis baru akan menang menjadi presiden,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa sidang medianya di Terengganu International Summit (TIS), Duyong Marina, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan yang menyatakan Israel berhak mempertahankanya dirinya, Abdul Hadi menegaskan ia adalah tidak wajar serta tiada asas.
“Apa hak dia? Palestin itu saya sebut dalam ucapan saya tadi, Nabi Ibrahim berkata orang yang zalim tidak berhak menerima wasiat, hanya orang yang adil sahaja boleh menerima,” ujarnya.