Home Berita PAS Pahang

Ameerah Sahabat Wanita Muda pertahankan SG4

147
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

TEMERLOH, 14 Sept – Muslimat muda (Ameerah) diseru agar menyahut cabaran untuk mempertahankan kemenangan di empat buah negeri iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis (SG4).

Lantaran itu Ameerah perlu berganding bahu membantu muslimat menjadikan tema Ameerah Sahabat Wanita Muda sebagai satu kenyataan.

Begitulah ucapan perasmian Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia Nuridah Mohd Salleh dalam Program Himpunan Ameerah Se-Malaysia 3.0 (HAMRA) di Kerdau di sini semalam.

“Ameerah perlu menjadikan wanita-wanita muda sebagai sahabat atau rakan mesra supaya apabila berjumpa dengan Ameerah mereka tak rasa alergik khususnya bagi mereka yg tidak mengenali perjuangan PAS.

“Inilah yang perlu dibawa oleh Ameerah sebagai satu tanggungjawab yang besar dengan menerapkan tiga elemen yang utama dalam PAS iaitu dakwah, tarbiyah dan siasah dalam aktiviti atau program yang diadakan,” ujarnya lagi.

Tambahnya, Ameerah perlu melibatkan diri dalam usrah yang telah disusun mengikut peringkat cawangan, kawasan dan pusat bagi menambahkan kesedaran, kefahaman dan ilmu untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Sementara itu Ketua Pengarah Ameerah Malaysia Mardhiyyah Johari berkata, muslimat muda akan terus menjadi entiti sebahagian dari gelombang anak muda yang sedar bahawa politik mesti diserahkan kepada mereka yang bertakwa dan berprinsip serta berintegriti.

“Kita bersimpati kepada anak-anak muda pada hari ini yang disajikan dengan politik birokrasi sehingga mereka menjauhkan diri dari politik yang menampakkan politik itu kotor, jahat, melobi kuasa demi kepentingan masing-masing.

“Sehingga mereka tidak berminat dengan politik dan tidak nampak kepentingan berpolitik yang menjadi tugasan mereka untuk memilih pemimpin negara,” ujar beliau yang juga sebagai Ahli Dewan Negeri Pengkalan Kundur.

Manakala pengarah program Ummi Kalsum Ismail berkata, program ini adalah untuk mengumpulkan jentera muslimat muda PAS seluruh Malaysia bagi mengeratkan ukhuwah dan kelestarian melaksanakan gerak kerja pilihan raya ke-16 nanti.

Program yang dihadiri lebih dari 800 orang menyaksikan persembahan pentomin, ted talk, pidato dan deklamasi sajak dari Ameerah yang mewakili negeri masing-masing.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, merangkap Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi telah memberi suntikan semangat kepada Ameerah di penghujung program tersebut.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah Briged Muslimat Malaysia Safinatunnajah Ibrahim, Mantan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia Siti Mastura Muhammad (Ahli Parlimen Kepala Batas), Siti Farah Mohamed dan Husna Dato’ Hashim, Pengarah Ameerah Negeri-negeri dan Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi Malaysia (SIGMA) Syazni Aizza Mohd Suhaimi, Timbalan Ketua Siswi PAS Atikah A Khawja Nazimudeen.