Home Berita PAS Sabah

Ameerah Open Mind : Belia Cakna Masa Depan Negara.

958
SHARE

Oleh : Laila Ismail
13 Oktober 2019

BATU SAPI : Ameerah Batu Sapi dengan kerjasama Ameerah Negeri Sabah telah menganjurkan program Ameerah Open Mind yang bertajuk Belia Cakna Masa Depan Negara di Dewan Restoran GH Corner Batu 6, semalam.

Panel forum yang terdiri daripada YB Senator Dewan Negara, Ustazah Asmak Husin, Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin dan Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu mendapat sambutan yang memberangsangkan dari belia sekitar Sandakan dan melalui medium ‘Live Facebook’ di laman muka buku Ameerah Negeri Sabah.

“Amat penting dalam memastikan daftar pemilih yang bakal lahir hasil daripada sistem pendaftaran automatik ini menjadi lebih tepat dan bersistematik bagi menjamin ketelusan penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.” Tegas Ustazah Asmak dalam forum tersebut.

Ustazah Asmak turut menyarankan setiap ahli Ameerah dan Puteri Umno mempergiatkan lagi kerjasama memberi pendidikan dan penerangan berkaitan politik kepada remaja di luar sana bagi memastikan mereka matang dalam menentukan hala tuju negara.

“Belia perlu sentiasa maju menimba ilmu terutamanya dalam ilmu kepimpinan dan politik negara kerana masa depan negara sedikit sebanyak ditentukan dengan kematangan belia yang cakna dengan politik Malaysia.” Tambah Noraini.

Norsah turut berkata, anak muda hari ini sudah bijak dan tahu menilai mana kepimpinan yang baik dan mana yang buruk, malah anak muda kini berfikir lebih maju ke hadapan seiring dengan kuasa media yang semakin luas di hujung jari.

Program yang berakhir tengahari itu turut dihadiri oleh Ketua Muslimat PAS Batu Sapi, Norliah Omar, Ketua Wanita UMNO Batu Sapi, Suhana Awang Tahir dan Ketua Puteri UMNO Batu Sapi Hazulizah Mohd Dani.