Home Berita PAS Terengganu

Amat malang jika pendedahan Rafizi benar

32
SHARE

KUALA TERENGGANU – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau selaku anggota Jemaah Menteri tidak dibenarkan memberi pandangan berbeza atau mengulas hal berkaitan kementerian lain dalam Mesyuarat Kabinet.

Kenyataan tersebut mencetus persoalan tentang amalan keterbukaan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini didakwa menyekat suara dalam kalangan anggota kabinet sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pendekatan yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu adalah jauh lebih terbuka dan telus.

Menurut beliau, setiap keputusan penting di Terengganu dibuat secara kolektif menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang berlangsung setiap hari Rabu.

“Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar dan turut dihadiri oleh SUK, LA, PKN, SU DUN serta semua 10 EXCO.

“Jika terdapat ketidakpuasan atau kontroversi terhadap kertas cadangan yang dibawa, perdebatan akan berlaku secara terbuka. Lazimnya, kertas tersebut akan ditarik balik dan dibawa semula dalam mesyuarat akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya semalam.

Razali turut menjelaskan bahawa ruang untuk menyuarakan pandangan sentiasa dibuka melalui agenda ‘Perkara Hal-Hal Lain’, sekali gus memberi peluang kepada semua EXCO menyentuh isu-isu semasa dan memberi cadangan penambahbaikan.

“Budaya menegur, memberi kritikan membina dan saling mengingatkan antara satu sama lain adalah perkara biasa demi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar untuk kepentingan agama dan rakyat.

“Amat malang apabila Kabinet Madani menyekat suara dalam kalangan anggota Jemaah Menteri. Ini bukan semangat kolektif, ini hanya rubber stamp,” tegasnya.