Home Berita PAS Terengganu

Amaran angin kencang dan laut bergelora di Terengganu

84
SHARE

KUALA TERENGGANU – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora (Kategori Pertama, Kedua Dan Ketiga) untuk perkapalan di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 28 Februari ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan 5 petang tadi memaklumkan, angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ketinggian ombak mencapai sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Manakala angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ketinggian ombak mencapai sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan timur Johor, Sarawak, barat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” ujarnya.

Tambah kenyataan tersebut, MetMalaysia juga telah mengeluarkan Amaran Kenaikan Paras Laut dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor berkuat kuasa sehingga 26 Februari 2022 yang berisiko meningkatkan limpahan air laut di pesisir pantai.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk aktiviti pelantar minyak, menangkap ikan, perkhidmatan feri, bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi,” jelasnya.