Home Berita PAS Terengganu

Amanah Urus Wang Rakyat

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Setiap sen wang rakyat adalah amanah yang mesti dipertanggungjawabkan, sama ada jumlahnya kecil atau melibatkan ratusan juta ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan, tidak wajar isu berkaitan pembaziran atau salah guna dana awam dipandang ringan kerana setiap perbelanjaan mesti memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.

“Setiap sen duit rakyat adalah amanah. Tak kira samada RM10 ribu, lima juta, RM40 juta, RM100 juta atau 1 bilion semuanya adalah tanggungjawab yang bakal dipersoalkan.

“Tak ada istilah, alaaaa… sikit saja! Itu pun nak bising!

“Apa yang penting ialah, setiap sen yang dibelanjakan perlu dipastikan manfaatnya wajib sampai kepada rakyat. Kalau berlaku apa-apa kecacatan, ia mesti diperbaiki segera dan dibuat tindakan pembetulan,” jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.

Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak berwajib kerana insiden runtuhan tembok penghadang di Batu Rakit telah diambil tindakan segera tanpa kos tambahan daripada wang rakyat.

Namun begitu, Azman mempersoalkan beberapa projek mega zaman kerajaan dahulu gagal diselesaikan meskipun melibatkan kerugian wang rakyat dengan jumlah yang sangat besar.

“Rakyat Terengganu akan terus bertanya ke mana kesudahannya penyelesaian projek Taman Ilmu di Tembila, Kompleks Bebas Cukai Tasik Kenyir dan Pulau Bayas, bas amphibia dan beberapa projek besar lagi yang menjadi gajah putih.

“Runtuhan Stadium Sultan Mizan juga diperbaiki dengan kos dari Kerajaan Negeri melibatkan jumlah ratusan juta, bukan dengan biaya dari kontraktor yang membina Stadium,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar pemimpin berhati-hati dalam berpolitik dan tidak terlalu ghairah menuding jari kepada pihak lawan kerana rakyat sudah penat dengan perbalahan politik yang tiada kesudahan.

“Nasihat saya, berpada-padalah dalam bermain politik. Mari kita pakat-pakat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Satu jari menunding kepada lawan, empat jari menunding kepada diri sendiri.

Orang tua pesan, kalau berbalah biar berpada-pada. Mana tahu suatu hari kita akan berbaik dan boleh duduk bersama sebagai rakan sekerja,” ujarnya.