Home Artikel PAS Perlis

Amal Perlis Bakal Anjur Ijtimak Qurban 2019

89 views
SHARE

Oleh : Muhammad Hadi

KANGAR : Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis akan menganjurkan Ijtimak Qurban Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis 1440 H / 2019 M bersempena dengan Aidiladha yang akan tiba tidak lama lagi.

Program yang diadakan dengan kerjasama Majlis Tindakan DUN Kayang dan PAS Cawangan Telaga Idi itu akan berlangsung selama empat hari, bermula pada hari raya pertama Aidiladha.

Dua lokasi telah dipilih iaitu di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kayang (PUTIK) dan Markas PAS Telaga Idi, dekat sini.

Menurut pengarahnya, Amirul Jufri Mat Saman, sehingga hari ini, pihaknya telah menyediakan sebanyak 15 ekor lembu serta 25 ekor kambing manakala lebih 50 orang anggotanya akan dikerahkan bagi menjayakan program berkenaan.

“Untuk kali ini, harga bagi satu bahagian lembu adalah RM 700 manakala harga bagi seekor kambing pula RM 800.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kita (JAM Negeri Perlis) meneruskan program ijtimak qurban ini  dengan semangat pengorbanan dan beristiqamah dengan Islam.

“Harapan kita adalah keredaan dan kemapunaan daripada Allah S.W.T. atas pelaksanaan ibadah ini serta diterima ibadah korban bagi semua yang terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya lagi, agihan daging korban akan dilakukan mengikut kaedah yang telah ditetapkan syarak iaitu sebahagian daging korban dipulangkan kepada peserta korban manakala selebihnya pula akan diagihkan terus kepada golongan fakir miskin.

“Selain tu, penganjuran program seumpama ini juga turut membantu melatih anggota kita dalam aspek pengurusan haiwan sembelihan dan daging korban di samping mengukuhkan kerjasama berpasukan menerusi pelaksanaan aktiviti secara gotong-royong.

“Mereka yang  ingin mendapatkan maklumat lanjut atau ingin turut serta melaksanakan ibadah korban menerusi ijtimak korban ini, bolehlah menghubungi Ustaz Thoriq Zainol di talian 011-12577005,” ujarnya.