BATU KAWAN: Jabatan Amal Malaysia Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan program Amal Masuk Kampung 5.0 anjuran bersama Masjid Kuala Juru, di sini Ahad lepas.
Timbalan Pengarah AMAL Pulau Pinang, Muhammad Nazrul Ali berkata, program ini bertujuan untuk bersama masyarakat dalam gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan.
Turut sama menjayakan program ini adalah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat Batu Kawan, PAS Cawangan Juru dan juga Lajnah Kebajikan PAS Batu Kawan.
Hadir sama Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar dan Yang DiPertua PAS Batu Kawan, Ustaz Zulkhairi Ismail.
Antara aktiviti dijalankan adalah gotong-royong membersihkan tapak perkuburan dan halaman masjid, pertandingan mewarna anak-anak, kaunter daftar undi, pemeriksaan kesihatan percuma dan sumbangan bahan kering kepada asnaf.
Pengerusi Masjid Kuala Juru, Wahid Osman memberitahu segala bahan-bahan mentah untuk jamuan makan program ini disumbang sepenuhnya oleh anak-anak kariah Masjid Kuala Juru.
“Ini membuktikan semangat anak-anak kariah menyambut kedatangan AMAL dan terima kasih tidak terhingga diucapkan atas kesudian AMAL membantu anak-anak kariah,” katanya lagi.