Oleh : Ez
1 April 2024
TAIPING : Pemahaman masyarakat bahawa menderma darah juga merupakan antara amal jariah telah membawa kesedaran dan perubahan untuk menyokong pelaksanaan usaha murni tersebut.
Lantaran itulah Amal Mega Blood Donation Edisi Ramadan anjuran Jabatan Amal Bukit Gantang terus mendapat sambutan pada siri yang diadakan di Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Taiping, di sini semalam.
Komandan Amal Bukit Gantang, Saudara Mohamad Ridzuan Basheer Ahmad berkata, kesedaran untuk menderma darah dalam kalangan masyarakat sudah semakin baik kini di mana penganjuran sedemikian semakin mendapat penyertaan.
“Penerapan kepada sentuhan agama bahawa menderma darah juga adalah suatu amal jariah menjadi sentuhan yang baik dan diketengahkan kepada masyarakat bagi memberi motivasi berbentuk ukhrawi,” ujarnya.
Program bulanan dikendalikan AMAL Bukit Gantang tersebut mendapat kerjasama penuh daripada Pusat Khidmat PAS Bukit Gantang dan Jabatan Amal Negeri Perak bersama Unit Tabung Darah, Hospital Taiping.
Program ini berjaya mencapai sasaran minimum apabila 60 penderma darah hadir memberikan sumbangan mereka membantu stok bekalan darah diperlukan pihak Tabung Darah.
Katanya lagi, program kebajikan seperti ini adalah rutin pihaknya yang akan diteruskan dari masa ke semasa sekali gus memupuk kerjasama dan kesedaran masyarakat.
Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Hj Rahim Ismail yang merakamkan penghargaan kepada para penderma darah dan penyumbang cenderahati untuk menjayakan program ini termasuk Dewan Pemuda PAS Kawasan.