Home Berita PAS Melaka

Almarhum mahu mati di pangkuan saya – Bakri Jamaluddin

318
SHARE
Alhamarhum Baharin Jamaluddin

Oleh IBNU JANIE

TANGGA BATU, 12 Okt: Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin menjelaskan bahawa Almarhum abangnya, Baharin, ada memberitahu bahawa jika ajalnya sampai, Almarhum ingin mati di pangkuannya.

“Seminggu sebelum dia meninggal ni arwah juga ada sebut perkara yang sama pada isteri dan keluarganya, yang kalau sampai ajal dia, dia nak mati di pangkuan saya,” ujarnya sayu.

Almarhum Baharin Jamaluddin, 59, yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Jentera Pilihan Raya DUN (JPrD) PAS Pantai Kundur dan Bendahari PAS Cawangan Tangga Batu Kecil menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi tadi di rumah Bakri akibat serangan jantung.

Menurut Bakri lagi, Almarhum abangnya yang menetap di Kampung Bukit Salleh tidak jauh dari rumahnya dan merupakan seorang pemandu teksi Grab itu dalam perjalanan menghantar penumpang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Masa tu lebih kurang jam 2.45 pagi, kereta arwah sudah menghampir rumah saya di Sungai Udang, beliau tiba-tiba diserang sakit dada dan terus membelokkan kenderaannya ke rumah saya.

“Kemudian arwah ketuk pintu rumah saya. Saya terjaga dan terus membawa beliau masuk. Masa itu keadaannya sudah lemah. Kami panggil ambulans,” ujar beliau.

Menurut Bakri, Almarhum kemudiannya sempat mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira hanya lima minit sebelum ambulans tiba.

“Pihak kakitangan kesihatan sahkan arwah telah meninggal dunia. Dan pihak kesihatan juga telah mengesahkan yang arwah tidak menghidap Covid-19,” ujar beliau lagi.

Bakri yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu itu menjelaskan bahawa Almarhum abangnya itu merupakan seorang yang komited terhadap tugasnya pada parti lebih-lebih lagi pada waktu sekarang ini PAS di peringkat cawangan, dewan-dewan dan kawasan sedang sibuk dengan mesyuarat agung tahunan.

“Kita sedang menghadapi mesyuarat agung ni, dia punya gigih bekerja untuk PAS. Dia gigih menyiapkan semua dokumentasi dan menghantar sendiri dokumen-dokumen yang telah siap ke pejabat Perhubungan PAS Melaka di Semabok.

“Dia bekerja untuk PAS sehingga saat akhir hayatnya walau pun dia tahu dia tidak sihat. Itu yang saya terharu,” ujar beliau kepada Harakahdaily seusai majlis pengebumian tengah hari tadi.

Jenazah Almarhum Baharin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Salleh, di sini, tengah hari tadi.

Terdahulu jenazah disembahyangkan di Masjid Tun Ghaffar Baba, Sungai Udang, selepas solat Zohor oleh saudara mara, sahabat handai dan ahli kariah.

Almarhum meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang kini berusia dalam lingkungan 20an.

Antara kenamaan yang hadir menziarahi ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen dan Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Melaka, Zainudin Latif dan Mohd Farid Samiun.