Home Berita PAS Perak

Allahyarhamah Hanipah istiqamah hingga penghujung usia

64
SHARE

Oleh: Akif Danisya Ismail

TAMBUN: Allahyarhamah Hajah Hanipah Mohd Yunus,74, yang meninggal dunia kelmarin disifatkan seorang muslimat yang disegani dan mempunyai semangat juang yang tinggi serta istiqamah hingga ke akir hayat.

Ketua Dewan Muslimat PAS Tambun, Yusmaliza Yusof ketika ditemui berkata, pihaknya amat berduka dengan berita pemergian Allahyarhamah Hanipah kerana beliau merupakan figura muslimat yang sudah ‘lama’ dalam perjuangan.

“Allahyarhamah terus istiqamah bersama Dewan Muslimat (Tambun) dengan memegang jawatan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional sehinggalah di peringkat Cawangan (sebagai) Ketua Muslimat Manjoi (sehingga) akhir hayatnya.

“Meski sudah uzur, Allahyarhamah tetap mempunyai semangat yang tinggi untuk kerja-kerja jemaah. Allahyarhamah tak mampu turun berjalan kaki ke lapangan, namun (Allahyarhamah) tetap menawarkan khidmat untuk memandu kenderaan untuk petugas.

“Demikianlah sedikit sebanyak kisah semangat juang yang tinggi daripada Allahyarhamah (yang) menjadi kenangan dan diharapkan (agar) menjadi tauladan buat kami semua khususnya golongan muda,” kongsi beliau.

Sebagai akhirnya, beberapa pimpinan Dewan Muslimat PAS Tambun telah memberikan penghormatan akhir buat Allahyarhamah dengan menziarahi dan menyempurnakan jenazahnya yang di solatkan di Masjid KDAS 3, kelmarin.

Jelas Yusmaliza, pihaknya redha dengan pemergian Allahyarhamah Hanipah dan akan terus mengenang segala khidmat bakti serta jasa yang telah Allahyarhamah perjuangkan.

“Kami semua menjadi saksi perjuangannya. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Allahyarhamah diampunkan segala dosa-dosa dan ditempatkan bersama-sama golongan yang beriman,” ujarnya.

Allahyarhamah Hanipah merupakan penerima anugerah Ummu Waraqah yang telah disampaikan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Tambun kali ke -36, Februari lalu.