KUALA NERUS – Aliran trafik di susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh di sini bergerak perlahan namun terkawal sekitar 11 pagi ini susulan pertambahan kenderaan yang memasuki Negeri Terengganu sempena cuti Aidilfitri.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati berlaku kesesakan kira-kira tujuh kilometer ke plaza tol berkenaan pada waktu tersebut.
Seorang pekerja swasta, Mohd Nahaqyu Mohd Hasari, 24, berkata, walaupun bilangan kenderaan meningkat di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), keadaan masih lancar sepanjang perjalanannya dari Johor Bahru untuk ke Kok Lanas, Kelantan.
“Saya dan tiga rakan bertolak pukul 4 pagi dan tiba di sini dalam pukul 11 lebih dan ambil peluang untuk berehat sekejap sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halaman kami.
“Kereta memang banyak tetapi tiada kesesakan luar biasa,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Mohd Zainuddin Jaafar, 36, yang berkerja di Klang menasihatkan perantau yang belum pulang ke kampung halaman masing-masing agar merancang perjalanan sebaiknya.
“Seeloknya bertolak awal pagi dan sentiasa berhati-hati ketika memandu, berhenti rehat seketika sekiranya mengantuk, ” ujarnya yang bertolak pulang ke Kuala Besut kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Plaza Tol Kuala Terengganu menjadi pilihan pengguna jalan raya untuk ke sekitar daerah ini di samping menjadi laluan alternatif ke Negeri Kelantan.