OLEH : MUHAMAD ABDUL FATEH
KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2024 – Program Alam Ria PASTI peringkat Kawasan Wangsa Maju yang diadakan baru-baru ini tampil meriah dengan kehadiran kanak-kanak berbakat dari seluruh kawasan Wangsa Maju. Acara tahunan ini memperlihatkan kecemerlangan anak-anak PASTI dalam pelbagai bidang seperti nasyid, hafazan, sajak, pidato, azan, khutbah, dan bercerita, menjadikannya platform terbaik bagi mereka mengembangkan bakat dan kebolehan diri.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud. Turut hadir, Pengerusi PASTI Wangsa Maju, Muhamad Nur Azmi Yusof, serta para pengurus dan guru-guru dari pelbagai cawangan PASTI di kawasan tersebut. Kehadiran mereka bukan sahaja menceriakan anak-anak malah memberi inspirasi kepada warga PASTI untuk terus komited dalam memperkasakan pendidikan Islam di peringkat pra-sekolah.
Bagi kategori Nasyid, PASTI Saidatina Khadijah berjaya merangkul tempat pertama, diikuti oleh PASTI An-Nahli Elit di tempat kedua, dan PASTI Al-Hafiz 1 di tempat ketiga. Dalam kategori Hafazan Lelaki dan Perempuan, kemenangan diperoleh oleh Firas Amsyar dari PASTI Genius Mursyid dan Lubna Humairah dari PASTI Aal-Ikhlas, masing-masing sebagai johan dalam kategori tersebut.
Dalam acara Sajak, Muhammad Harraz Ikhwan dari PASTI Al-Hafiz 2 dan Rumaisa Haura dari PASTI Darul Iqra’ mengungguli kategori Lelaki dan Perempuan. Manakala, bagi kategori Pidato, Nur Aira Mikayla dari PASTI Al-Amru berjaya mendapat tempat pertama. Dalam kategori azan pula, Ali Uthman dari PASTI Saidatina Khadijah berjaya memukau juri dan penonton dengan lantunan azannya yang penuh keyakinan.
Acara khutbah yang mencabar kebolehan anak-anak dalam menyampaikan mesej agama turut menyaksikan Hael Mateen dari PASTI Darul Iqra’ berjaya menonjol sebagai johan, manakala dalam kategori bercerita, kejuaraan dimenangi oleh Mohamad Mikael dari PASTI Al-Amru dan Hanan Nayla dari PASTI As-Siddiqin.
Secara keseluruhan, PASTI Darul Iqra’ dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Alam Ria PASTI 2024, diikuti oleh PASTI Genius Mursyid sebagai Naib Johan, dan PASTI Al-Amru di tempat ketiga. Kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa anak-anak PASTI di Wangsa Maju bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah memiliki bakat dalam pelbagai bidang.
Program ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah antara warga PASTI dan masyarakat setempat, tetapi turut menyemarakkan semangat anak-anak dalam menonjolkan bakat mereka. Alam Ria PASTI kali ini telah berjaya mencetuskan inspirasi kepada generasi muda untuk lebih mencintai ilmu agama sambil memupuk kemahiran interpersonal dan kepimpinan di usia yang muda.