Oleh : Yusrizal Baco
7 Ogos 2025
LAHAD DATU : Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Jumaidin Lakalla berkata Alam Ria PASTI bukan sekadar satu pentas untuk beradu bakat antara murid, tetapi medan membentuk karakter Rabbani dalam diri anak-anak seawal usia.
Menurutnya, pendekatan yang diambil dalam pertandingan ini, adalah selari dengan misi utama pendidikan PASTI iaitu untuk melahirkan generasi soleh dan pintar dalam kalangan anak-anak PASTI.
“Kita mahu memperkasa bakat semula jadi yang Allah berikan kepada anak-anak kita, sambil menyemai nilai dan kefahaman agama Islam dalam diri mereka,”
“Didik anak-anak untuk menyelami maksud yang mereka tampil dalam acara mereka ikuti, bukan hanya ingin mendapatkan nombor sahaja, tetapi faham juga mereka nilai yang ada pada setiap pertandingan,” ujarnya sewaktu merasmikan ALAM RIA PASTI Lahad Datu, kelmarin.
Tambahnya, setiap acara dalam Alam Ria membawa nilai pendidikan yang tersirat.
“Sebagai contoh, pertandingan azan bukan sahaja menguji suara dan teknik laungan betul, tetapi ada tokoh Islam yang berkait rapat dengan azan seperti Bilal bin Rabah, muazzin pertama dalam sejarah Islam yang menjadi simbol keteguhan akidah,” jelasnya.
Katanya, penting untuk kita ceritakan kepada anak-anak tentang siapa sahabat Nabi yang melaungkan azan, siapa yang menyampaikan syair, siapa yang menghafal hadis dan al-Quran, supaya mereka ini menjadikan mereka tokoh ikutan sejak kecil lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan awal yang bersifat islami adalah asas penting dalam melindungi keluarga daripada kerosakan akidah dan akhlak.
“Oleh itu, pendidikan awal Islam mesti bermula seawal mungkin.
“Umur 4 hingga 6 tahun adalah masa terbaik untuk anak-anak didedahkan dengan nilai agama, supaya mereka lebih cakna terhadap halal haram dan batas syarak sebelum melangkah ke sekolah rendah dan menengah,” kata beliau.
Menurutnya lagi, PASTI terus mengorak langkah sebagai institusi pendidikan prasekolah Islam yang unggul, dengan pelbagai pencapaian yang membanggakan, bukan sahaja di peringkat nasional malah turut diiktiraf di luar negara.
“PASTI bukan sekadar tempat anak-anak belajar membaca, menulis dan mengira.
“Ia juga menjadi tempat mereka belajar mengenal Allah dan Rasul, memahami batasan syarak serta menjadi medan amal dan ibadah mereka,” ujarnya.
Tambahnya lagi, PASTI telah membuktikan bahawa pendidikan prasekolah Islam mampu melahirkan anak-anak yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah turut memiliki akhlak dan jati diri Islam yang kukuh.