Home Berita PAS Pahang

Aku dan Muktamar:1

650
SHARE

Oleh ROSLI ABDUL JABAR

 

Sejak zaman bujang hinggalah sekarang aku hadir ke Muktamar PAS. Seingatku hanya sekali aku tidak hadir sejak lebih 25 tahun dahulu iaitu pada tahun 2004 kerana aku berada diMekah, lalu aku mendaki Jabal Nur bersama rakan-rakan. Kami kibarkan bendera PAS sebagai tanda kebersamaanku dengan para muktamirin.

 

Dulu masa bujang, ada masanya aku hanya menaiki bas, bawa sehelai dua pakaian, duit hanya cukup-cukup untuk mengalas perut rampingku. Budak pondok macam aku sangat mudah menguruskan diri, makan apa ada, rumah penginapanku hanya masjid dan surau. Apa yang penting ialah dapat mendengar perbahasan Muktamar.

 

Sehelai kain untuk alas duduk baringku pasti tidak dilupakan, aku masih budak yang tak ada apa-apa jawatan. Selalunya aku membeli kad pemerhati, namun biasanya tak dapat masuk kedalam dewan. Aku pun memang jenis tak suka bersesak-sesak dan kalau berebut untuk masuk pun biasanya tubuh kecil menulangku ini pasti tewas. Aku cari sudut lapang dan teduh bawah pokok untuk mendengar ucapan dasar.

 

Tiada siapa mengenaliku, aku pun tak peduli sesiapa, yang penting aku nak dengar ucapan dasar dan perbahasan, menekuni mendengar setiap hirisan ucapan dari pimpinan dan pembahas yang pastinya sarat dengan buahan perjuangan. Aku pada masa itu adalah insan asing yang sedang belajar meniti perjuangan yang terasing ini.

 

Tulisan ini lahir dari hati yang sedang dilanda keboringan dek jalan yang jeng, pulang dari Muktamar, keretaku kini kurasakan sama seperti kereta tolak.

 

Penulis adalah Pesuruhjaya PAS Pahang

Adun Tanjung Lumpur