KUALA TERENGGANU – Insiden serbuan dan penangkapan seramai 171 individu dikaitkan dengan aktiviti songsang disifatkan sebagai musibah kemanusiaan yang menggoncang asas moral masyarakat.
Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Prof Madya Dr Haji Wan Mat Sulaiman berkata, perkembangan itu bukan sekadar isu sosial tetapi petanda jelas bahawa generasi hari ini sedang berdepan gelombang kerosakan akhlak yang amat membimbangkan.
Menurut beliau, kejadian ini bukan sekadar pelanggaran nilai agama, malah memberi isyarat bahawa usaha pihak tertentu untuk menormalisasikan budaya luar tabii termasuk agenda LGBT semakin berani dan mendapat tempat.
“Dewan Ulamak Terengganu melihat apa yang berlaku itu suatu musibah kemanusiaan yang amat luar biasa dan membimbang kepada generasi Gen Z dan disebaliknya ia satu kejayaan kepada para pejuang dan pendokongnya,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Justeru itu beliau menegaskan, amalan sedemikian mesti dikutuk kerana ia mengundang murka Allah dan bakal menghancurkan masyarakat Islam.
Dr. Wan Mat turut menyeru kerajaan untuk menggubal undang-undang yang lebih tegas dan adil bagi membendung gejala tidak bermoral.
Disamping itu katanya, pihak berkuasa perlu memperketat tapisan bahan lucah agar sukar diakses oleh masyarakat, terutamanya golongan remaja.
Tambahnya, kempen kesedaran perlu dijalankan secara berkala oleh pihak kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan masyarakat umum bagi menolak serta menyekat budaya songsang daripada terus berleluasa.
“Semua pihak terutama umat Islam perlu menolak amalan buruk di luar tabie yang dilaknat Allah ini, dan termasuk usaha yang cuba dperjuangkan golongan LGBT.” ujar beliau





