Home Berita PAS Terengganu

Aktiviti di PPS bantu kawal emosi mangsa banjir

202
SHARE

KUALA NERUS – Pelbagai aktiviti disediakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk semua golongan terutamanya kanak-kanak bagi memastikan mereka tidak menghadapi trauma atau sebarang situasi yang boleh menjejaskan emosi akibat banjir.

Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Kuala Terengganu, Sanisah Azrai berkata, pihaknya melaksanakan aktiviti tersebut berdasarkan keperluan kaunseling kepada mangsa bencana.

“Antara aktiviti yang disediakan untuk kanak-kanak ialah mewarna, melukis dan bermain pelbagai permainan supaya masa mereka terisi dan membuka minda.

“Kita mahu mereka mengisi masa dengan perkara berfaedah, kita tidak mahu mereka berada di sini leka dengan gajet-gajet, ini supaya adanya pergerakan dan boleh berkenalan antara satu sama lain sekali gus menghilangkan tekanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di PPS Tok Jembal yang kini menempatkan 138 mangsa, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam menghadapi situasi demikian semua pihak perlu memainkan peranan termasuk ahli keluarga dalam memberikan sokongan dan mereka tidak dibiarkan bersendirian yang akhirnya akan membawa gangguan emosi.

“Kerana itu yang dewasa kita adakan lawatan ke tempat mereka di PPS ini dengan kita sentiasa bersedia mendengar segala luahan mereka agar tidak timbulnya kebimbangan, kita akan menyediakan segala keperluan untuk emosi mereka.

“Dengan cara kita mendengar dahulu segala apa yang ingin diluahkan dan mengenal pasti bantuan apa yang mereka perlukan sepanjang berada di sini,”katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Jamilah Abd Rahman mengakui dia dan enam rakannya menghadapi situasi rumah sewa dinaiki air kali pertama dan diarahkan berpindah ke PPS.

“Ketika rumah kami sewa di Taman Murni Permai dinaiki air kami tidak sedar sehinggalah jiran memberitahu yang pada waktu itu air telah melimpah sampai buku lali, antara barangan yang rosak adalah peti ais serta kasut-kasut.

“Memang ‘stress’ juga, namun syukur kerana disambut dengan baik, segala keperluan dibantu termasuk proses mendaftar masuk, semua pihak telah memberikan kami layanan yang baik untuk tabah menghadapi situasi yang kami tidak pernah sangka dan tidak pernah dialami sebelum ini,” katanya.