KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu menjangkakan lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan apabila Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) mula dilaksanakan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pelaksanaan akta berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan tahap kebersihan dan pengurusan sisa pepejal, malah turut memberi limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat.
“Peningkatan ekonomi rakyat juga turut berlaku apabila pemakaian Akta 672 ini akan menambah peluang pekerjaan melalui penambahbaikan sistem pengurusan sisa pepejal yang sedia ada,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Bekalan 2026 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah menyatakan pendirian rasmi untuk mengguna pakai Akta 672 kepada kerajaan Persekutuan pada Mei 2025 lalu.
Tambahnya, sebelum akta itu dikuatkuasakan, beberapa proses perlu diselesaikan termasuk ‘due diligence’, penilaian kos dan skop kontrak pembersihan awam serta keperluan sumber manusia bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
“Proses ini akan disegerakan sebaik sahaja kabinet meluluskan kertas dasar pemakaian Akta 672 di Terengganu yang akan dikemukakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), insya-Allah selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, selain mewujudkan peluang pekerjaan, pemakaian Akta 672 juga dijangka meringankan beban kewangan kerajaan negeri dalam menampung kos operasi kebersihan yang meningkat saban tahun.
“Dengan pelaksanaan akta ini, kualiti pengurusan kebersihan dan kutipan sisa pepejal di Terengganu akan dapat dipertingkatkan bagi memastikan tahap kebersihan serta keceriaan negeri sentiasa berada pada tahap terbaik untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.





