Oleh: AZURA AWANG
PAYA BESAR, 3 Jun: Muslimat PAS Paya Besar telah mengadakan program Gelombang AKIFI secara atas talian.
Program dimulakan dengan solat maghrib, solat hajat dan bacaan Yassin seterusnya solat isyak dirumah masing-masing sebelum semua peserta boleh mula masuk ke aplikasi Google Meeting bermula pada pukul 8.40 malam dengan kehadiran seramai 94 peserta.
Munajat AKIFI diketuai oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Faizah Muhammad dan taujihat disampaikan oleh Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.
Turut serta ialah Pengerusi Kelab Assabiqat Negeri Pahang Hasnah Arshad, Ketua Muslimat PAS Paya Besar Ustazah Norzilah Hussain, Timbalan Muslimat PAS Paya Besar Nursuryati Razali, Naib Ketua Muslimat Paya Besar Norsiah Shuib, Ketua Penerangan Muslimat Paya Besar Rosmawati Bohari, Pengarah Pilihanraya PAS Muslimat Paya Besar Aminah Othman serta Ahli Jawatankuasa yang lainnya.
Ustazah Salamiah dalam menyampaikan taujihat beliau, berkongsi tentang ciri-ciri pejuang Islam iaitu kasih kepada agama Allah seperti sensitif terhadap segala perintah Allah dan sunnah nabi sebagai tanda kasih kepada Allah dan agama dengan cara melakukan semua perintah wajib, sunat, umum mahupun khusus.
Ciri pejuangan Islam yang kedua ialah sikap mempertahankan agama Allah dengan cara mempersiapkan kekuatan dalam organisasi, individu dan bersedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab pada bila-bila masa kerana musuh sentiasa ada sama ada musuh yang nampak di mata atau tidak seperi nafsu dan syaitan.
Ketiga ialah cinta kepada syahid, dimana perjuangan bukan mudah melainkan faham dan mempunyai kesedaran dalam diri sendiri serta menghiasi diri dengan sifat dan akhlak seorang pejuang dan bercita-cita untuk mati syahid.
Ustazah Salamiah turut mengingatkan semua muslimat yang hadir agar melazimi sifat sabar, jaga ukhuwah, persiapkan ilmu, dan persiapkan rohani.
Turut serta dalam program Munajat AKIFI ialah ketua-ketua Muslimat DUN Panching, Lepar dan Sg Lembing, Ketua Ameerah Kawasan, Ketua Nusaibah Kawasan, dan Ketua Briged Kawasan.