Home Berita PAS Terengganu

Akibat kezaliman

148
SHARE

Zalim itu ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang sebenar, atau bertindak dengan cara yang salah dalam segala aspek. Berlaku zalim merupakan suatu langkah yang boleh merosakkan alam sekeliling termasuk kehidupan manusia itu sendiri dan akibatnya berpanjangan sehingga selepas mati dan Hari Akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

﴿وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ٢٢٧﴾

“Dan orang-orang yang zalim itu, kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.” (Surah al-Shu‘ara’: 227)

Allah memberikan suatu amaran yang keras kepada sesiapa yang berlaku zalim, apabila mereka bertindak menyalahi keadaan yang sebenar atau meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang sebenar.

Allah yang Maha Berkuasa telah mengharamkan sifat zalim pada diri-Nya dan mewajibkan sifat adil pada Zat-Nya yang Maha Sempurna. Rasulullah SAW bersabda meriwayatkan sebuah hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:

‌يَا ‌عِبَادِي، ‌إِنِّي ‌حَرَّمْتُ ‌الظُّلْمَ ‌عَلَى ‌نَفْسِي، ‌وَجَعَلْتُهُ ‌بَيْنَكُمْ ‌مُحَرَّمًا، ‌فَلَا ‌تَظَالَمُوا.

“Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya, aku mengharamkan zalim pada diri-Ku dan aku menetapkan (sifat zalim) itu haram sesama kamu, maka janganlah kamu menzalimi sesama kamu.” (Riwayat Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, No. 2577)

Umat Islam diwajibkan berlaku adil dalam semua perkara dan terhadap seluruh manusia itu sendiri, termasuklah juga terhadap kalangan yang paling bermusuh. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَئَانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Kuasa kerajaan adalah ujian Allah kepada manusia yang diberikan akal, ilmu dan nafsu yang wajib dikawal oleh petunjuk agama dan akal. Malah, mereka juga hidup secara bermasyarakat, bukan seperti binatang yang bernafsu tanpa akal. Sifat-sifat sedemikian itu membolehkan manusia berpolitik mentadbir alam dunia.

Firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Ketika Allah hendak menciptakan manusia dan diisytiharkan antara tujuannya ialah melaksanakan khilafah (politik urusan mentadbir). Para malaikat meminta penjelasan kebimbangan berlaku kejahatan dan kezaliman, namun Allah itu Maha Mengetahui akan tujuan penciptaan manusia disebabkan ciri-ciri fitrahnya. Peranan khilafah yang tidak boleh dilakukan oleh makhluk yang lain.

Seterusnya, Allah menjelaskan lagi melalui firman-Nya:

﴿تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢﴾

“Maha Suci Allah yang di tangan-Nya jua segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1-2)

Semua kerajaan, raja dan pemimpinnya berada di bawah kekuasaan Allah. Maka, mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

Allah SWT yang merupakan Pencipta dan Pentadbir alam ini telah berfirman:

﴿قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ٢٦﴾

“Katakanlah, ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan! Engkau memberikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau memuliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali ‘Imran: 26)

Allah menyebutkan teladan daripada Nabi Ibrahim AS yang diumumkan menjadi pemimpin setelah Baginda diuji, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ١٢٤﴾

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam (pemimpin) bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘(Dan aku memohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.’” (Surah al-Baqarah: 124)

Oleh itu, jawatan pemimpin tidak boleh diminta sewenang-wenangnya kerana menginginkan jawatan semata-mata, tanpa dinilai keperibadiannya oleh masyarakat umum yang benar-benar layak dan faham untuk memilihnya. Hal ini sekali gus membezakan antara Islam dengan demokrasi Barat yang tidak meletakkan syarat iman dan akhlak yang mulia. Sehinggakan, orang yang fasiq boleh memilih pemimpin yang fasiq juga. Firman Allah SWT:

﴿تِلۡكَ ٱلدَّارُ ٱلۡأٓخِرَةُ نَجۡعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوّٗا فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فَسَادٗاۚ وَٱلۡعَٰقِبَةُ لِلۡمُتَّقِينَ٨٣﴾

“Negeri akhirat itu, Kami jadikannya untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Qasas: 83)

Firman Allah SWT:

﴿وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا يُوقِنُونَ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفۡصِلُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ٢٥﴾

“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami. (24) Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang memberikan keputusan antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang selalu mereka perselisihkan padanya. (25)” (Surah al-Sajdah: 24-25)

Sabda Rasulullah kepada sahabatnya, ‘Abdul Rahman bin Samurah RA:

يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ، لَا تَسْأَلِ الإِمَارَةَ، فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا، ‌وَإِنْ ‌أُعْطِيتَهَا ‌عَنْ ‌مَسْأَلَةٍ ‌وُكِلْتَ ‌إِلَيْهَا.

“Wahai ‘Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta dilantik menjadi pemimpin, Sesungguhnya, kalau diberikan jawatan tanpa memintanya; nescaya engkau akan ditolong menjalankan tugasnya (oleh Allah) dan jika diberikan jawatan itu dengan memintanya; nescaya ia diserahkan kepadamu (tanpa pertolongan Allah).” (Muttafaqun ‘Alayh: al-Bukhari, Kitab Kaffarah al-Ayman, No. 6622 dan Muslim, Kitab al-Ayman, No. 1652, daripada ‘Abdul Rahman bin Samurah)

Allah memberikan amaran bahawa adanya dalam kalangan manusia itu yang tidak boleh mengawal nafsunya. Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُولَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘raf: 179)

Secara khusus dalam tugas yang berkait dengan soal kehakiman, ia menjadi sasaran yang sangat mudah untuk berlakunya kezaliman. Maka, Rasulullah SAW bersabda:

الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: اثْنَانِ فِي النَّارِ، وَوَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ. رَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ، فَهُوَ فِي الْجَنَّةِ، وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَلَمْ يَقْضِ بِهِ، وَجَارَ فِي الْحُكْمِ، فَهُوَ فِي النَّارِ، وَرَجُلٌ لَمْ يَعْرِفِ الْحَقَّ، فَقَضَى لِلنَّاسِ عَنْ جَهْلٍ، فَهُوَ فِي النَّارِ.

“Para hakim itu ada tiga golongan; dua golongan yang ke neraka dan satu golongan yang ke syurga. Seseorang yang mengetahui kebenaran lalu menjatuhkan hukum dengannya, maka hakim itu ke syurga. Seseorang yang mengetahui kebenaran tetapi menjatuhkan hukuman tidak mengikut apa yang sebenar, maka hakim itu ke neraka. Dan seseorang yang jahil tidak mengetahui perkara yang sebenar lalu menjatuhkan hukuman secara jahil, maka hakim itu ke neraka juga.” (Riwayat Abu Dawud, No. 3573, al-Tirmizi, No. 1322, Ibn Majah, No. 2315 dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra, No. 5922. Lafaz bagi al-Nasa’i)

Oleh itu, Islam membawa suatu kaedah kehakiman supaya sebarang tuduhan hendaklah dibuktikan dengan nyata dan adil, bukan sahaja hakimnya mestilah seorang yang adil, termasuklah saksinya juga. Bahkan, pihak yang berkenaan digalakkan supaya mencari jalan agar dapat dibebaskan orang yang dituduh dengan hujah undang-undang yang tidak meragukan, maka dibenarkan adanya wakil (peguam) yang berilmu undang-undang.

Hal ini demikian kerana, kesilapan membebaskan itu lebih baik daripada kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Maka, usaha mewujudkan naratif bagi menyalahkan seseorang dengan segala cara adalah suatu langkah yang zalim.

Zalim itu sifat mustahil bagi Allah SWT dan adil pula menjadi sifat wajib bagi-Nya. Sedangkan, sifat Maha Adil itu pula menjadi salah satu daripada al-Asma’ al-Husna (nama-nama terbaik bagi Allah).

Betapa adilnya Allah SWT pada Hari Kiamat nanti, apabila tidak menghukum manusia dengan sifat-Nya yang Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar sahaja. Akan tetapi, juga dengan bukti dan saksi daripada kalangan makhluk, rakaman anggota jasad seseorang dan catatan para malaikat daripada amalan seseorang. Perkara ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٦٥﴾

“Pada hari ini Kami menutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: 65)

Firman Allah SWT:

﴿وَقَالُواْ لِجُلُودِهِمۡ لِمَ شَهِدتُّمۡ عَلَيۡنَاۖ قَالُوٓاْ أَنطَقَنَا ٱللَّهُ ٱلَّذِيٓ أَنطَقَ كُلَّ شَيۡءٖۚ وَهُوَ خَلَقَكُمۡ أَوَّلَ مَرَّةٖ وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ٢١ وَمَا كُنتُمۡ تَسۡتَتِرُونَ أَن يَشۡهَدَ عَلَيۡكُمۡ سَمۡعُكُمۡ وَلَآ أَبۡصَٰرُكُمۡ وَلَا جُلُودُكُمۡ وَلَٰكِن ظَنَنتُمۡ أَنَّ ٱللَّهَ لَا يَعۡلَمُ كَثِيرٗا مِّمَّا تَعۡمَلُونَ٢٢ وَذَٰلِكُمۡ ظَنُّكُمُ ٱلَّذِي ظَنَنتُم بِرَبِّكُمۡ أَرۡدَىٰكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم مِّنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٢٣﴾

“Dan mereka berkata kepada kulit mereka, ‘Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?’ Kulit mereka menjawab, ‘Allah yang menjadikan segala sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai (pula) berkata, dan Dialah yang menciptakan kamu pada kali pertama dan hanya kepada-Nya jua kamu dikembalikan.’ (21) Kamu sekali-sekali tidak akan dapat bersembunyi daripada kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu kepadamu; bahkan kamu mengira bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan daripada apa yang kamu kerjakan. (22) Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka kepada Tuhanmu, Dia telah membinasakan kamu, maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang rugi. (23)” (Surah Fussilat: 21-23)

Firman Allah SWT:

﴿وَإِنَّ عَلَيۡكُمۡ لَحَٰفِظِينَ١٠ كِرَامٗا كَٰتِبِينَ١١ يَعۡلَمُونَ مَا تَفۡعَلُونَ١٢﴾

“Padahal, sesungguhnya bagi kamu ada (para malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu). (10) Yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). (11) Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan. (12)” (Surah al-Infitar: 10-12)

Firman Allah SWT:

﴿يَوْمَئِذٍۢ يَصْدُرُ ٱلنَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا أَعْمَـٰلَهُمْ٦ فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرٗا يَرَهُۥ٧ وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٖ شَرّٗا يَرَهُۥ٨﴾

“Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. (6) Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walaupun seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya (balasannya). (7) Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya dia akan melihatnya (balasannya) pula. (8)” (Surah al-Zalzalah: 6-8)

Namun, Allah juga membuka pintu taubat (keampunan) kepada sesiapa yang beriman kepada Allah sahaja dan janji-Nya. Selain itu, dibukakan pula pintu syafaat kepada sesiapa yang diizinkan-Nya dengan syarat beriman kepada-Nya sahaja dan tidak berlaku syirik (melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya). Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ أُوحِيَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٦٥﴾

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu, ‘Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan terhapuslah amal kamu dan tentulah kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.’” (Surah al-Zumar: 65)

Rasulullah SAW berusaha supaya semua daripada kalangan umatnya terselamat daripada melakukan kezaliman dengan bersabda:

‌انْصُرْ ‌أَخَاكَ ‌ظَالِمًا ‌أَوْ ‌مَظْلُومًا.

“Tolonglah saudaramu yang berlaku zalim dan juga yang dizalimi.”

Lalu ada salah seorang bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا، أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ؟

“Wahai Rasulullah! Aku menolongnya, sekiranya dia dizalimi. Bagaimana pula aku ingin menolongnya, sekiranya dia berlaku zalim?”

Sabda Rasulullah SAW:

تَحْجُزُهُ، أَوْ تَمْنَعُهُ، مِنَ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ.

“Hendaklah kamu menghalang dan mencegahnya daripada berlaku zalim, itulah makna menolongnya.” (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Ikrah, No. 6952)

Allah SWT berfirman kepada Rasulullah SAW dan seluruh umatnya:

﴿فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ١١٣﴾

“Maka, tetaplah kamu berada pada jalan yang benar, sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)” (Surah Hud: 112-113)

Ayat di atas menunjukkan bahawa akibat yang buruk juga pasti akan menimpa ke atas orang yang menolong kezaliman dan hatinya cenderung ke arah kezaliman.

Rasulullah SAW memberikan suatu pesanan kepada sahabatnya, Mu‘az bin Jabal RA sewaktu beliau ditugaskan ke negeri Yaman:

‌اتَّقِ ‌دَعْوَةَ ‌الْمَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ.

“Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi. Maka, sesungguhnya tiada hijab (halangan dan sekatan) antaranya dengan Allah.” (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Mazalim wa al-Ghasb, No. 2448 dan Muslim, Kitab al-Iman, No. 19)

Dalam pada itu, Rasulullah SAW turut mengingatkan perkara yang sama, sekalipun orang yang dizalimi itu daripada kalangan bukan Islam. Hal ini sebagaimana sabdanya:

‌اتَّقوا دَعْوَةُ ‌الْمَظْلُومِ، ‌وَإِنْ ‌كَانَ ‌كَافِرًا، فَإِنَّهُ ‌لَيْسَ ‌دُونَهَا ‌حِجَابٌ.

“Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi, meskipun dia seorang bukan Islam. Maka, sesungguhnya tiada hijab (sekatan dan halangan) antaranya dengan Allah.” (Riwayat Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 12549, dan Dhiyauddin al-Maqdisi, al-Ahadith al-Mukhtarah, No. 2748)

Begitulah hukuman Islam yang keras dan betapa haramnya berlaku zalim dalam semua perkara.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Muharram 1445 / 24 Julai 2023

[Bil: 60 / 2023]