KUALA NERUS – Kerajaan negeri melalui Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) memperkenalkan pendekatan secara menyeluruh bagi membantu rakyat Terengganu membuat persiapan Hari Raya Aidiladha secara lebih terancang dengan penganjuran program-program berkaitan Fiqh Ibadah Korban.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, inisiatif itu membolehkan rakyat negeri ini tanpa mengira latarbelakang menyertai mana-mana program Fiqh Ibadah Korban yang terdekat seterusnya membolehkan mereka membuat persiapan dengan rapi dengan ilmu yang disampaikan.
“Saya yakin bahawa program sebegini memudahkan orang ramai mengulangkaji kembali modul Fiqh Ibadah Korban sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya pada Majlis Perasmian Diskusi Fiqh Korban bertempat di Masjid Seberang Takir, dekat sini, semalam.
Tambahnya lagi, variasi program disusun setiap kali tibanya hari kebesaran umat Islam dengan jemputan pakar-pakar dan figura agama yang tersohor, misalnya program kali ini menampilkan Ahli Panel Klinik Hukum Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Ustaz Abu Usamah Muhammad Hanafiah.
Mohd Nor juga menyatakan hasratnya agar Akademi DUAT tampil sebagai platform Dakwah Islamiyyah yang kontemporari demi menyuburkan lagi syiar Islam di negeri ini.
“Akhirnya, diharapkan setiap peserta akan bijak merancang amalan-amalan sepanjang Hari Tasrik dan lebih menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang dirakamkan di dalam al-Quran sebagai suatu semangat dan motivasi untuk diterjemahkan dalam kehidupan kita.
“Di samping itu, begitu juga dalam menghayati falsafah ibadat haji yang menekankan tentang perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan umat Islam,” katanya.