Home Berita PAS Terengganu

Akademi Alfateh tekad perkukuh jati diri belia Terengganu

20
SHARE

KUALA TERENGGANU -Akademi Kepimpinan Al Fateh sedia meneruskan Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) bagi memperkukuhkan jati diri anak Terengganu mengikut acuan Islam setiap tahun.

Pengurus Akademi Kepimpinan Al Fateh, Ahmad Mukrim Adnan berkata, program yang telah dimulakan sejak tahun 2022 itu telah disertai lebih 1500 orang yang mengikuti program melalui intipati modul yang berkesan serta pelbagai aktiviti lasak yang menarik telah menjadi sebutan dan mendapat sambutan ramai.

“Bagi tirai 2024 yang sudah dibuka, pihak kami sekali lagi akan menganjurkan program yang berimpak tinggi ini kepada semua belia-beliawanis di Terengganu sepanjang tahun.

“Pengisiannya adalah meliputi ‘tarbiyyah Islamiyyah, kenegaraan dan lain-lain bakal bertandang dan nantikan pengumuman terdekat dari Akademi kepimpinan Al-Fateh,” ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Akademi Kepimpinan Al-Fateh , Mukrim berkata ia merupakan organisasi yang menjadi salah satu mercu tanda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang mendokong misi dan visi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri.

“Diasaskan melalui hasrat Menteri Besar Terengganu dan ditubuhkan sebagai anak syarikat di bawah Menteri Besar Terengganu (Incorporated).

“Penubuhannya adalah menekankan kepada lima tonggak utama belia iaitu pembenteng agama, menjadi pemimpin masyarakat, pembimbing, pemikir dan peduli ummah.

“Cetusan nama Sultan Muhammad Alfateh diabadikan dalam akademi ini merupakan semangat kerajaan Terengganu bagi melahirkan belia dan beliawanis yang berkualiti,” ujarnya.