Home Artikel PAS Terengganu

Ajaklah! Walaupun sehingga seratus kali

123 views
SHARE

DUNGUN- Muslimat PAS diminta supaya tidak berasa bosan mengajak sasaran(mad’u) untuk menghadiri program PAS walaupun terpaksa melakukannya sehingga seratus kali.

“Sebab kita dengar banyak kadang-kadang, mak cik panggil doh ustazah, tiga, empat kali, dia tak moh mari,” kata Ketua Muslimat PAS Terengganu, Hajah Zarani Othman di Pelancaran Munajat Pilihan raya ke14.

Pelancaran tersebut yang dianjurkan oleh Lajnah Tarbiyah, Muslimat PAS Terengganu telah diadakan di Surau Ustaz Omar Syukri, Kampung Bukit Chatak, di sini pada 17. Oktober yang lalu.

Zarani mengajak semua yang hadir mencontohi Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallahu’alaihiwasallam ketika berhadapan dengan orang Yahudi.

“ Baginda sentiasa dihina, sentiasa dicerca dan dimaki oleh seorang tua lelaki, yang duduk kat pasar Madinah, tak dok benda lain dok kata ke Rasulullah.

“ Tapi setiap kali nabi gi pasar, orang itulah, Nabi singgah dan suap makan, dalam beri makan tupun duk kata, duk caci macam-macam ,” cerita beliau lagi.

Ketua Muslimat PAS Marang itu juga, turut menyebut bahawa di Terengganu, 93% pengundi adalah terdiri daripada orang Melayu.

Justeru itu, terangnya lagi,  kemenangan bergantung kepada orang melayu, walaupun ada beberapa tempat pengundi bukan melayu, jadi dengan gagasan budaya politik matang dan sejahtera, kita perlu turun ke bawah.

“ Jangan hanya pilih kelompok, berjumpalah dengan masyarakat, untuk penyampaikan Islam,” ujarnya lagi.

Beliau juga berharap muslimat masuk ke Felda-Felda yang merupakan penyumbang utama kemenangan Barisan Nasional dengan mengadakan program yang mampu mengubah tanggapan salah kepada PAS.

Muslimat juga diingatkan untuk mencapai kemenangan, kekuatan dalaman juga perlu dibina, hubungan dengan Allah mesti sentiasa dipertingkatkan selain kesungguhan melaksanakan tugasan-tugasan parti. 

“Hari ini kita lancarkan munajat, InsyaAllah, semoga kita menjadi sufi sejati dimalam hari,  singa disiang hari. Banyakkan solat hajat, sentiasa berqiamulail dan kekuatan dengan Allah untuk berjihad di jalan Allah Ta’ala.” tambahnya lagi.