Home Berita PAS Pahang

Air laut pasang resahkan penduduk pantai Beserah

334
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 28 Dis :: Fenomena air laut pasang surut di pantai Beserah telah mengakibatkan sepuluh buah rumah di pesisiran pantai terutama di Kampung Pasir Garam dimasuki air semalam.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selama empat hari berturut-turut di mana pasukan polis dan RELA berada di tempat kejadian untuk memantau keselamatan penduduk berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Andansura Rabu dalam lawatan kerjan hari ini ke tempat kejadian berkata, laluan air pasang perlu ada benteng untuk menyekat kederasan air menembusi kawasan perkampungan nelayan.

Sebelum ini difahamkan kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM500K bagi pembinaan benteng yang sedia ada, namun ia tidak dapat menampung keperluan persekitaran kampung berkenaan.

Menurut Andansura, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memohon tindakan susulan dapat diambil dengan segera agar kejadian seumpama itu dapat diatasi.

Beliau juga mencadangkan agar kerja gotong royong pembersihan sampah sarap akibat dari fenomena tersebut dapat dilakukan segera untuk mengelak berlakunya pembiakan nyamuk di kawasan berkenaan.

Turut hadir pada lawatan itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Darat (JKKK) Azairuddin Osman, Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Beserah Tengah juga Pegawai-Pegawai dari Khidmat DUN Beserah.