Home Berita PAS Pahang

Air kumbahan melimpah di kediaman Pelindung Beserah diberi perhatian

164
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 6 Mac :: Air kumbahan telah melimpah di kediaman penduduk Pelindung Beserah dekat sini sejak tiga minggu lalu, namun keadaan menjadi lebih buruk bila hujan turun baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu telah menerima aduan dari penduduk berkenaan apabila tiada tindakan kerja-kerja pembaikan dilakukan.

“Pejabat saya telah mengangkat aduan penduduk kepada pihak-pihak berkaitan untuk mengusahakan penyelesaian.

“Katanya ia sudah agak lama namun lebih ketara sejak kebelakangan ini,” kata Andansura.

Menurut beliau lagi, pihaknya telah membawa perkara ini ke Pejabat Daerah Kuantan di bawah Jabatan Alam Sekitar dan juga pihak Indah Water Kuantan (IWK) supaya tindakan segera dapat diambil.

“Alhamdulillah, kedua-dua agensi berkenaan telah turun dan kerja-kerja pembaikan saluran loji kumbahan di Pelindung sedang dilaksanakan.

“Ia sepatutnya bermula beberapa hari yang lalu, namun terdapat kekangan cuaca dan tenaga kerja yang tidak mencukupi akibat penularan Covid-19,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, mengharapkan agar kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan dapat mengatasi sepenuhnya masalah penduduk serta ianya tidak akan berulang lagi.

Tambahnya, pihak IWK diminta dapat menyediakan saluran aduan yang lebih baik kepada orang ramai, selain dapat memberi perhatian segera kepada aduan-aduan yang diterima.

Beliau juga sangat menghargai dan berterima kasih kepada pihak IWK yang telah memberi perhatian kepada aduan yang telah dibuat.