KUALA LUMPUR – Air bawah tanah perlu dijadikan sumber bekalan strategik negara dan diurus secara mampan bagi menjamin keselamatan bekalan air jangka panjang, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan (JKP), Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Ketika sesi Penerangan Penyata DR.20 Tahun 2025 berhubung Potensi dan Hala Tuju Air Bawah Tanah di Malaysia di Dewan Rakyat semalam, beliau menekankan bahawa penggunaan air bawah tanah secara konjunktif bersama air permukaan dapat meningkatkan kecekapan sistem bekalan air negara dan berfungsi sebagai sumber simpanan penting ketika musim kemarau atau krisis air.
“Jawatankuasa mengesyorkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjadikan air bawah tanah sebagai sumber bekalan strategik negara, khususnya sebagai simpanan jangka panjang yang boleh diaktifkan semasa musim kemarau atau situasi kecemasan,” katanya.
Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai potensi besar sumber air bawah tanah, namun tahap penggunaannya masih rendah.
Katanya, negara kini berdepan cabaran pengurusan sumber air, tekanan pembangunan pesat serta kesan perubahan iklim yang menyebabkan pengurangan hujan tahunan sehingga 22 peratus.
Beliau berkata, perkara tersebut antara yang diperincikan dalam lapan syor utama jawatankuasa, merangkumi tiga syor bagi pengurusan sumber air bawah tanah, dua bagi teknologi dan inovasi, serta tiga lagi berkaitan tadbir urus dan perancangan strategik.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan penerapan teknologi moden seperti Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan Kembar Digital (Digital Twin) bagi memperkukuh pemantauan serta pengurusan sumber air bawah tanah secara bersepadu.
Semalam, penyata berkenaan turut dibahaskan oleh beberapa Ahli Parlimen termasuk Tan Hong Pin (PH–Bakri), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN–Sik), Onn Abu Bakar (PH–Batu Pahat), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) dan Muhammad Islahuddin Abas (PN–Mersing).